Monday, March 12, 2012

Penuhi Tanggungjawab Sosial Bantu Bidang Pendidikan

PONTIAN 10 Mac - Golongan yang berjaya dalam kerjaya masing-masing digesa membantu pihak yang memerlukan sebagai memenuhi tanggungjawab sosial mereka terhadap bidang pendidikan.

Ahli Parlimen Pontian, Datuk Ahmad Maslan berkata, pelbagai cara boleh dilakukan terutamanya membantu sekolah masing-masing dalam bentuk kewangan, peralatan atau kemudahan serta berkongsi rahsia kejayaan mereka.

"Kita harap mereka akan terus menyumbang dengan melihat kembali sekolah yang telah membantu mereka berjaya dalam pendidikan sama ada sekolah tadika, rendah dan menengah.

"Ada dalam kalangan mereka yang memegang pelbagai jawatan tinggi dalam sektor awam dan swasta atau menjadi usahawan dan ahli perniagaan yang berjaya dengan pendapatan yang besar," katanya.

Beliau berkata demikian semasa melancarkan Tabung Pembangunan Insan (TPI) sempena Mesyuarat Agung Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Benut, dekat sini baru-baru ini.

Pada majlis itu, Ahmad yang juga Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri turut melancarkan portal rasmi SMK Benut yang mengandungi pelbagai maklumat bagi kemudahan ibu bapa, guru, pelajar atau bekas pelajar yang ingin mengetahui perkembangan sekolah mereka.

Turut hadir, Pegawai Pelajaran Daerah Pontian, Msduki Shahri; Pengetua SMK Benut, Mastura Aladin Masro dan Pengerusi PIBG SMK Benut, Aros Ibrahim.

Ahmad yakin penubuhan TPI memberi peluang kepada ibu bapa atau mana-mana pihak untuk menyumbang kepada pihak sekolah bagi manfaat para pelajar.

"Banyak perkara yang boleh dilakukan oleh pihak sekolah bukan sahaja bagi meningkatkan pencapaian akademik dan kokurikulum, tetapi juga membantu pelajar yang kurang berkemampuan," katanya.

Ahmad turut menyumbangkan sebanyak RM10,000 sebagai dana awal, manakala sebanyak RM5,000 pula diberikan kepada tabung PIBG SMK Benut.

- Utusan

No comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...