Saturday, March 03, 2012

Bekas Kakitangan Kontrak KEMAS Terima RM3,000 Mulai 3 Feb (Sabtu)


PUTRAJAYA: Bayaran khas RM3,000 seorang secara ‘one-off’ atau sekali sahaja kepada bekas kakitangan kontrak Jabatan Kemajuan Masyarakat (KEMAS) akan mula diagihkan pada Sabtu ini bermula di Kelantan dan disusuli negeri-negeri lain.

Timbalan Menteri Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah Datuk Hasan Malek berkata, seramai 560 orang akan menerima bayaran itu di Kelantan yang dijangka disampaikan Anggota Parlimen Jeli Datuk Seri Mustapha Mohamed yang juga Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri pada satu majlis di kediamannya Sabtu ini.

Hasan berkata, pembayaran seterusnya dibuat di Sarawak melibatkan 220 penerima pada 12 Mac, Terengganu pada 14 Mac (257 penerima), Johor 15 Mac (555 penerima), Perlis 18 Mac (225 penerima), Melaka 19 Mac (350 penerima), Pahang 20 Mac (550 penerima) dan Negeri Sembilan pada 21 Mac kepada 233 penerima.

“Selain itu 550 orang akan menerima bayaran di Kedah pada 22 Mac, Perak 25 Mac (670 penerima), Pulau Pinang 28 Mac (255 penerima), Selangor 786 penerima dan Wilayah Persekutuan 120 penerima. Tarikh bayaran untuk Selangor dan Wilayah Persekutuan belum ditentukan,” katanya pada sidang akhbar di sini semalam.

Sehingga kini, KEMAS telah menerima sebanyak 6,000 permohonan untuk mendapatkan bayaran khas itu yang melibatkan peruntukan sebanyak RM18 juta.

Bantuan itu adalah selaras dengan kenyataan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak ketika pembentangan Belanjawan 2012 bahawa imbuhan secara sekali gus sebanyak RM3,000 akan diberikan kepada bekas kakitangan KEMAS yang berkhidmat dengan jabatan itu melebihi lima tahun sebagai menghargai sumbangan mereka.

Hasan berkata, tarikh akhir untuk membuat permohonan adalah pada 9 Mac dan peruntukan tambahan akan dipohon sekiranya terdapat permohonan lain diterima melebihi peruntukan yang disediakan.

Katanya, setiap penerima akan menerima baucar yang boleh ditunaikan selewat-lewatnya 30 April depan dengan membawa baucar asal dan kad pengenalan di mana-mana cawangan Bank Simpanan Nasional, sementara pembayaran untuk penerima yang uzur akan diadakan secara khas untuk memudahkan mereka. — Bernama

No comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...