Monday, March 12, 2012

Doktor Pelatih Warga Asing Cabul Pelajar IPTA Ditahan

KOTA BAHRU 11 Mac – Seorang doktor pelatih yang berasal dari Sudan ditahan semalam bagi membantu siasatan kes cabul melibatkan seorang pelajar sebuah institusi pengajian tinggi awam (IPTA), di sini baru-baru ini.

Doktor berusia 36 tahun dan sudah berkahwin itu ditahan dengan bantuan Pengarah Hospital Universiti Sains Malaysia (HUSM) yang membawa suspek untuk menyerah diri di Balai Polis Kota Bahru.

Menurut Ketua Polis Kelantan, Datuk Jalaluddin Abdul Rahman, suspek menyerah diri pada pukul 9 malam tadi selepas dibawa oleh Pengarah HUSM dan beberapa kakitangannya.

Beliau berkata, setelah keterangannya diambil, suspek ditahan untuk membantu siasatan kes tersebut.

“Suspek ditahan hasil kerjasama pihak HUSM yang membawa doktor itu ke balai selepas dia dipercayai menyalahgunakan peluang belajar di negara ini,” katanya.

Baru-baru ini, seorang pelajar IPTA mendakwa hidup dalam trauma selepas dicabul oleh seorang doktor pelatih ketika menerima rawatan di Unit Kecemasan di sebuah hospital.

Mangsa yang berusia 23 tahun membuat laporan polis di Balai Polis Kubang Kerian selepas selesai menduduki peperiksaan beberapa hari kemudian.

Terdahulu, Jalaluddin merasmikan Pusat Media dan Taska Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kelantan, di sini hari ini.

Menurut beliau, idea mewujudkan pusat media itu dicetuskan Ketua Polis Negara, Tan Sri Ismail Omar bagi mengatasi masalah dan salah faham berhubung laporan berita dan kes-kes jenayah di negara ini.

“Saya percaya penubuhan pusat media ini akan lebih memudahkan penyaluran berita selain mendekatkan kami dengan pengamal media,” katanya.

Pusat media yang melibatkan kos RM65,000 itu akan beroperasi bulan depan manakala taska berkenaan disediakan dengan belanja RM271,000.

- Utusan

No comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...