Monday, March 12, 2012

Dua Deejay Pub Warga Negeria Salah Guna Pas Pelajar Ditahan


SEORANG pegawai Jabatan Imigresen memeriksa dua warga Nigeria dalam satu serbuan di sebuah kelab malam di Jalan Ban Hock, Kuching, semalam.

KUCHING 11 Mac - Dua lelaki warga Nigeria yang bekerja sambilan sebagai deejay sebuah kelab malam di Jalan Ban Hock di sini ditahan kerana menyalahgunakan pas masuk ke negara ini dalam operasi bersepadu 'Ops Awang Hitam' yang dijalankan pihak penguat kuasa, malam tadi.

Kedua-dua mereka yang berusia lingkungan 20-an bukan sahaja masuk ke Malaysia menggunakan pas pelajar, malah tidak memiliki permit untuk bekerja di negara ini dan pas pelajar itu juga sudah tamat tempoh.

Ketika ditahan untuk pemeriksaan Bahagian Penguat Kuasa Jabatan Imigresen, dua lelaki warga asing itu mendakwa pelajar di sebuah kolej swasta di bandar raya ini.

Kedua-dua mereka kini ditahan mengikut Seksyen 6 (1) (c) Akta Imigresen 1959/63 untuk siasatan lanjut.

Operasi bersepadu itu dijalankan oleh Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Sarawak bersama Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dan Jabatan Imigresen yang diketuai oleh Inspektor Fazrul Subhi Musa dan Inspektor Thomas Untol dari Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN).

Dalam operasi bermula pukul 10 malam itu, Jabatan Imigresen turut memeriksa sembilan wanita warga Filipina dan kesemua mereka dilepaskan selepas masing-masing menunjukkan dokumen yang diperlukan.

- Utusan

No comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...