Thursday, March 08, 2012

Fakulti Pengurusan Perniagaan UiTM Miliki Pelajar Teramai

Faridah Hassan (tengah) bersama para penerima Anugerah Naib Canselor pada majlis Kegemilangan Akademik UiTM Cawangan Pahang, Kampus Khazanah Alam Bandar Tun Abdul Razak Jengka, Maran, kelmarin.

MARAN 6 Mac - Fakulti Pengurusan Perniagaan (FPP), Universiti Teknologi Mara(UiTM) mencatatkan sejarah kerana mempunyai bilangan penuntut seramai 40,000 orang yang mengikuti pengajian di semua cawangan di negara ini.

Dekan FPP UiTM Shah Alam, Selangor, Prof. Dr. Faridah Hassan berkata, walaupun bilangannya ramai tetapi UiTM komited dalam melahirkan graduan berpengetahuan, berkemahiran, semangat jati diri, patriotik dan bersyukur.

Menurutnya, institut pengajian tinggi awam itu tidak berkompromi dalam kualiti sekali gus berusaha keras bagi melahirkan para graduan yang kreatif, konstruktif, saintifik, progresif, inovatif dan analitikal.

Jelasnya, mereka didedahkan dengan lebih rasional, terbuka, patriotik, berpandangan jauh dan dan mempunyai ketahanan mental serta fizikal yang mampu membawa golongan itu untuk terus mara ke hadapan.

"Bagi menghadapi cabaran getir dalam pasaran pekerjaan, mereka perlu berdikari dan berdaya saing serta mempunyai ciri-ciri kepimpinan, keusahawanan dan kemahiran pengurusan tinggi," katanya.

Beliau berkata demikian pada Majlis Kecemerlangan Akademik Fakulti Pengurusan Perniagaan UiTM membabitkan 553 pelajar cawangan Pahang di sini baru-baru ini.

Pada majlis itu pelajar terbaik keseluruhan menjadi milik Mohamad Fariz Haikal Nor Yatim, Mohd. Khairul Akmal Yahya, Nasnoor Zulfadli Mohd. Nasiruddin, Azrin Zainal Abidin dan Hane Adlina Mohd. Hanepah.

Faridah menegaskan, lulusan UiTM perlu menjaga nama baik diri dan institusi bagi membuktikan kebolehan kemahiran berkomunikasi dan kualiti perkhidmatan dalam sektor pekerjaan.

Katanya, ketika ini lepasan UiTM dalam semua bidang menjadi rebutan majikan kerana mereka telah menjalani proses pembelajaran yang berkualiti demi menghasilkan graduan berterampilan, berkemahiran dan unggul.

"Imej dan kredibiliti UiTM tetap unggul dan kekal menjadi rebutan majikkan dalam industri jika semua pelajar dapat menghayati visi dan misi universiti," katanya.

- Utusan

No comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...