Thursday, March 15, 2012

Gelaran / Pangkat Tok Guru, Ustaz diberikan PAS Mengelirukan


KOTA BHARU – Pas perlu mengkaji semula gelaran atau pangkat yang diberikan sewenang-wenangnya kepada pemimpin parti itu kerana ia dikatakan mengelirukan banyak pihak.

Naib Presiden Parti Progresif Penduduk (PPP), Datuk Nik Sapeia Nik Yusof berkata, sebagai contoh sesiapa yang masuk Pas dan ada kebolehan menyampaikan ceramah politik, secara automatik mereka diberi gelaran atau pangkat ustaz atau ustazah, manakala pemimpin tertinggi pula dipanggil tok guru atau tuan guru.

Katanya, panggilan itu boleh mengelirukan orang ramai terutama golongan yang masih di bangku sekolah kerana maksud tok guru, ustaz dan ustazah politik itu mempunyai makna atau maksud lain dalam kamus Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP).

“Mengikut kamus DBP, tok guru ialah guru mengajar mengaji al-Quran, bukan yang memimpin parti politik. Begitu juga ustaz dan ustazah yang memberi maksud guru agama (lelaki atau perempuan), sedangkan ustaz dan ustazah dalam Pas kerjanya menyampaikan ceramah politik yang isi kandungannya didakwa terselit maki hamun dan fitnah.

“Apa yang dikesalkan, begitu mudah seseorang itu dipanggil tok guru, tuan guru, ustaz dan ustazah setelah berada dalam Pas, sedangkan untuk mendapatkan gelaran berkenaan, seseorang itu perlu melanjutkan pengajian dalam bidang yang dikhususkan,” katanya kepada Sinar Harian di sini.

Nik Sapeia yang juga Pengerusi PPP Kelantan berkata, ajaran dan perjuangan Pas bukan sahaja mengelirukan orang ramai, malah gelaran yang diberikan kepada pemimpin parti itu juga boleh memeningkan kepala pelbagai pihak.

Menurutnya, Pas sewajarnya menukar semua panggilan diberikan kepada pemimpin parti itu bagi menjaga status tok guru, tuan guru, ustaz dan ustazah yang hanya ditauliahkan kepada golongan menuntut dalam bidang agama.

“Daripada mana-mana parti politik di negara ini, hanya Pas didakwa yang sewenang-wenangnya menggunakan gelaran atau panggilan itu, sedangkan parti lain termasuk PKR tidak berbuat demikian kerana mereka tahu imej atau panggilan tok guru, tuan guru, ustaz atau ustazah bukan untuk dipermainkan dalam politik.

“Pas sepatutnya berasa malu kerana parti itu sering dijadikan bahan sindir dan sinis oleh masyarakat sekeliling, sehinggakan ada yang berkata, jika mahu digelar tok guru, ustaz atau ustazah, masuklah Pas,” katanya.

Kata Nik Sapeia, beliau kadang-kadang berasa lucu apabila semua wakil rakyat dan penceramah Pas diberi gelaran ustaz sehingga sukar baginya serta rakyat untuk membahasakan diri setiap kali bertemu dengan golongan itu.

- Sinar Harian

No comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...