Wednesday, March 21, 2012

Gemar Layari FB Jika Berkesempatan, Fokus Cikgu Ajar di Dalam Kelas - Mohd Sulaiman

  NR       Wednesday, March 21, 2012

JOHOR BAHARU – Usaha bersunguh-sungguh seorang anak peneroka Felda mengulang kaji pelajaran demi untuk mengubah nasib keluarganya nyata membuahkan hasil apabila Mohd Sulaiman Zainal memperoleh keputusan cemerlang dalam peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) yang diumum hari ini.

Mohd Sulaiman, 18, yang tersenarai antara pelajar cemerlang kategori calon Felda negeri ini berkata dia tidak menyangka mendapat keputusan 5A+, 4A dan 1A- hari ini apabila dia hanya mendapat 8A, 1B dan 1C pada peperiksaan percubaan sebelum ini.

“Saya sering ingat pesan emak supaya sentiasa rajin belajar. Saya mengenal erti susah sejak kecil dan mula membantu ayah di kebun kelapa sawit ketika berada di Tingkatan Dua,” katanya kepada pemberita selepas majlis pengumuman keputusan SPM 2011, di sini hari ini.

Menceritakan resepi kejayaannya, pelajar Sekolah Menengah Palong Timur, Segamat itu berkata dia mengulang kaji pelajaran setiap hari terutama membuat latihan bagi mata pelajaran Matematik Tambahan dan mengamalkan bacaan surah Yasin.

“Saya juga gemar melayari laman sosial Facebook sekiranya berkesempatan. Apa yang penting, kita mesti fokus apa yang cikgu ajar di dalam kelas,” katanya yang akan memohon untuk melanjutkan pelajaran dalam bidang perubatan atau farmasi.

Seorang lagi pelajar cemerlang kategori calon Felda, Farah Nabilah Azman, 18, dari Felda Bukit Besar, Kulaijaya, berkata belajar secara berkumpulan banyak membantunya mencapai kejayaan hari ini.

Anak kedua dari tiga beradik itu turut mengakui memberi penumpuan di dalam kelas merupakan kaedah terbaik untuk lebih memahami setiap pelajaran yang diajar.

“Saya cuma mendapat 5A+ dan 4A pada peperiksaan percubaan. Dengan keputusan 6A+ dan 3A hari ini, saya akan cuba memohon jurusan perubatan demi mencapai cita-cita saya menjadi seorang doktor,” kata pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan Sultan Alauddin, Kulaijaya itu.

Sementara itu, bagi Debbie Lim Hue Chin, 18, pula masalah rabun yang dialaminya sejak berumur lapan tahun tidak menghalangnya untuk belajar bersungguh-sungguh sehingga mendapat keputusan 7A+ dan 2A.

Menurutnya, dia hanya mengikuti kelas tuisyen bagi mata pelajaran Bahasa Melayu dan mengulang kaji secara bersendirian di rumah kira-kira empat jam pada setiap malam.

Debbie yang mengambil mata pelajaran Bahasa Melayu, Bahasa Inggeris, Matematik, Sejarah, Pendidikan Moral, Matematik Tambahan, Biologi, Kimia dan Fizik bercita-cita menjadi doktor pakar sakit puan.

“Masalah rabun ini disebabkan faktor genetik dan adik perempuan saya turut mengalami masalah yang sama. Saya tidak pernah menjadikannya alasan untuk tidak berjaya,” katanya yang gemar bermain piano.- BERNAMA
logoblog

Thanks for reading Gemar Layari FB Jika Berkesempatan, Fokus Cikgu Ajar di Dalam Kelas - Mohd Sulaiman

Previous
« Prev Post

No comments: