Monday, March 12, 2012

Kajian Jaringan Melayu Malaysia: Seks Songsang Pelajar Serius


KUALA LUMPUR 10 Mac - Kajian yang dilakukan Jaringan Melayu Malaysia (JMM) mendapati sebanyak 21 laporan polis telah dibuat sepanjang tahun lalu berkenaan pembabitan pelajar sekolah rendah dan menengah dalam kegiatan seks sejenis.

Presidennya, Azwanddin Hamzah berkata, statistik bagi seluruh negara itu amat membimbangkan dan keadaan dijangka menjadi lebih dahsyat sekiranya perjuangan golongan lesbian, gay, biseksual dan transgender (LGBT) mendapat tempat di negara ini.

"Untuk bulan Januari tahun ini sahaja, sudah empat laporan polis dibuat mengenai kes ini yang membabitkan pelajar-pelajar sekolah dan itu tidak mengambil kira lagi kes-kes yang tidak dilaporkan.

"Kita lihat masalah keruntuhan akhlak ini semakin menjadi-jadi dan lebih merisaukan adalah apabila terdapat hampir 20 NGO (pertubuhan bukan kerajaan) serta beberapa parti politik yang secara terbuka menyokong LGBT," katanya ketika Mingguan Malaysia di sini hari ini.

Kumpulan penyokong LGBT sejak kebelakangan ini secara terbuka mahu menegakkan kegiatan seks songsang itu termasuk cuba menganjurkan program mempromosi seks bebas, Seksualiti Merdeka pada tahun lalu.

Menurut Azwanddin, kajian JMM turut mendapati sebanyak 21 kes perceraian di Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur dan Selangor tahun lalu dikesan berpunca daripada salah seorang pasangan suami isteri mengamalkan seks sejenis.

Di samping itu, kata beliau, perangkaan tahun 2010 daripada Majlis AIDS Malaysia (MAM) menunjukkan jumlah penghidap HIV yang berpunca daripada golongan seks sejenis adalah sebanyak 48.7 peratus iaitu lebih tinggi daripada golongan berkongsi jarum dadah iaitu 47.7 peratus.

Katanya, semua pihak sama ada kerajaan dan masyarakat perlu bangkit menegakkan pendirian untuk menolak golongan LGBT kerana kepentingan akidah agama Islam adalah lebih besar daripada kepentingan politik atau agenda golongan tertentu.

"JMM juga turut bimbang sekiranya NGO-NGO yang menyokong LGBT ini mendapat sokongan dari pihak luar kerana selain Amerika Syarikat, negara Israel juga amat menyokong perkara ini sehingga mengadakan program 'Pinkwashing' untuk mempromosikan negara itu sebagai destinasi pelancongan gay," katanya.

Beliau memberitahu, JMM akan menggiatkan usaha untuk meningkat kesedaran masyarakat dengan mengadakan pertemuan bersama Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) di seluruh negara bagi mengedar risalah serta memberi pendedahan mengenai ancaman LGBT.

- Utusan

No comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...