Friday, March 09, 2012

Kanak-Kanak Istimewa Kaum Iban Pertama Miliki PediaSuit di Sarawak

HARAPAN BARU: Liana berdiri dan berjalan menggunakan PediaSuit.

KUCHING: Kanak-kanak perempuan berbangsa Iban, Liana, 5, yang tidak dapat berjalan kerana masalah Cerebral Palsy (CP) mendapat harapan baharu apabila muncul kanak-kanak istimewa pertama di negeri ini memiliki PediaSuit hasil sumbangan sebuah sekolah di sini.

PediaSuit merupakan sejenis pakaian khas yang lembut dilapik dengan sambungan takal-takal getah yang membentuk kerangka untuk menstabilkan tubuh dan bahagian bawah badan, memperbetulkan postur serta membentuk keseimbangannya.

Liana memakai pakaian khasnya itu sekurang-kurangnya sejam setiap hari, semasa menjalani rawatan fisioterapi dan ‘Spider Therapy’, kaedah rawatan baharu untuk kanak-kanak bermasalah CP serta masalah neurologi lain.

Dalam rawatan ‘Spider Therapy’, tali mudah lentur dan fleksibel disambung pada tali pinggang dipakai Liana untuk memegangnya dalam kedudukan yang betul. Sebaik berada pada kedudukan betul, dia boleh bergerak menerusi senaman terapi tanpa berasa sakit pada sendinya sementara pakar terapi membantunya melakukan pergerakan yang betul.

Sabtu ini, 10 Mac dari jam 3.30 petang hingga 5 petang, Liana akan dibantu melakukan demonstrasi menggunakan PediaSuit dan ‘Spider Therapy’ di The Therapy Playroom, Tingkat 1, No.80. Jalan Dogan di sini.

Tiada bayaran dikenakan kepada mereka yang mahu menyaksikan pertunjukan itu dan kumpulan yang disasarkan menyaksikan pertunjukan itu ialah pakar terapi, pekerja di pusat-pusat penjagaan dan ibu bapa mempunyai anak yang menghadapi masalah Cerebral Palsy.

- UB

No comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...