Thursday, March 08, 2012

Karnival Jom Masuk U meriah


Para pengunjung menikmati kemudahan jalur lebar yang disediakan pada Karnival Pengajian Tinggi Negara Jom Masuk U di Dataran Seri Kemang, Port Dickson, Teluk Kemang, Negeri Sembilan, baru-baru ini.

TELOK KEMANG 6 Mac - Karnival Pengajian Tinggi Negara Jom Masuk U yang berlangsung di Dataran Seri Kemang, Port Dickson dekat sini baru-baru ini menerima kejutan dengan kehadiran lebih 40,000 pengunjung dalam program yang berlangsung dua hari itu.

Ketua Penolong Pengarah Bahagian Pengurusan Kemasukan Pelajar di Kementerian Pengajian Tinggi, Ismail Nor Hassan Basri (gambar) berkata, pihaknya menyasarkan kehadiran pengunjung, di mana rata-ratanya lepasan sekolah sekadar 30,000 orang sahaja.

''Ini satu peningkatan dan amat dibanggakan kerana semakin ramai yang berminat melanjutkan pelajaran di institusi pengajian tinggi negara," katanya di sini baru-baru ini.

Katanya, karnival tahunan itu diadakan sejak tahun 2005 dengan beberapa lokasi menjadi pilihan di seluruh negara.

''Ia juga mendapat kerjasama Kementerian Pelajaran dan bagi kali yang kelapan ini, ia h diadakan untuk zon ketujuh di Dataran Seri Kemang, Port Dickson ini," ujarnya.

Kata Ismail, sebanyak 20 institut pengajian tinggi awam (IPTA), 60 dari swasta dan beberapa agensi kerajaan terlibat dalam karnival ini.

''Turut serta ialah institusi berkaitan kemahiran di bawah Majlis Amanah Rakyat (Mara), Jabatan Tenaga Manusia (JTM) serta Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani," katanya.

Sepanjang dua hari karnival itu berlangsung, beberapa gerai pembiayaan pelajar seperti Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) dan Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) turut mengambil bahagian.

Ismail menambah, ini merupakan satu karnival 'masa hadapan', di mana menentukan hala tuju remaja lepasan sekolah untuk memilih kursus yang ditawarkan selain penempatan dalam universiti mahupun kolej universiti.

''Kita dapati mereka yang hadir terdiri daripada 60 peratus adalah pelajar, selebihnya guru dan ibu bapa," ujarnya.

Katanya, karnival ini akan diadakan di kawasan pedalaman dan kampung pada masa hadapan bagi menyuntik minat remaja desa menyertai pengajian di mana-mana institusi pengajian tinggi.

- Utusan

No comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...