Monday, March 12, 2012

Karnival Pendidikan Mara tawar 10,000 peluang pekerjaan


MELAKA 10 Mac - Lebih 10,000 peluang pekerjaan ditawarkan pada Jelajah Karnival Pendidikan Mara 2012 di lima daripada sembilan lokasi bermula di negeri ini, hari ini.

Timbalan Ketua Pengarah Mara, Abd. Rahim Abd. Ghani berkata, lima lokasi yang akan menawarkan pelbagai peluang pekerjaan selepas Melaka adalah Kuala Lumpur (17-18 Mac), Pahang (24-25 Mac), Terengganu (4-5 April) dan Perak (7-8 April)

Menurutnya, peluang kerja yang ditawarkan meliputi semua bidang termasuk teknikal, perkhidmatan, pengurusan dan pentadbiran yang memerlukan kelayakan peringkat persekolahan sehinggalah ijazah.

"Sebagai permulaan, karnival di negeri ini menawarkan 2,500 peluang dengan 500 dalam bidang kejuruteraan, manakala selebihnya meliputi semua bidang yang ditawarkan oleh pelbagai syarikat.

"Mereka yang berminat perlu datang ke sini dan mengambil borang serta mengisinya berdasarkan jawatan yang ditawar dan dipaparkan di papan kenyataan," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas merasmikan pelancaran Jelajah Karnival Pendidikan Mara 2012 di Pusat Dagangan Antarabangsa Melaka (MITC) Ayer Keroh di sini hari ini.

Empat lagi lokasi karnival itu diadakan adalah Kedah (20-21 Mac), Kelantan (28-29 Mac), Sarawak (11-12 April) dan Sabah (14-15 April).

Mengulas lanjut, Abd. Rahim berkata, karnival yang diadakan itu turut memberi peluang kepada lepasan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) dan Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM) mendapatkan maklumat mengenai peluang-peluang melanjutkan pelajaran.

Beliau berkata, Mara melalui Institusi Pendidikan Mara (IPma) menyediakan pelbagai kursus di peringkat prasijil, sijil, diploma dan ijazah.

Kata beliau, di bawah IPma terdapat 223 Giat Mara, Institut Kemahiran Mara (13), Kolej Profesional Mara (6), Kolej Poly-Tech Mara (9), Kolej Kemahiran Mara (10) dan sebuah German Malaysian Institute (GMI).

"Selain itu, peluang melanjutkan pelajaran ke peringkat tinggi adalah Universiti Kuala Lumpur (UniKL) yang mempunyai 11 kampus di seluruh negara," katanya.

Karnival itu turut menganjurkan kaunseling kerjaya, ceramah kerjaya, klinik resume dan seminar mengenai persiapan temuduga pekerjaan secara percuma.

No comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...