Thursday, March 08, 2012

Khidmat masyarakat pelajar UM di Kuala Lipis


KUALA LIPIS 6 Mac - Seramai 60 penuntut Fakulti Pendidikan Awal Kanak-kanak (PAKK), Universiti Malaya (UM), Kuala Lumpur berhimpun di Kampung Kuala Kechau di sini bagi menjayakan Program Khidmat Masyarakat baru-baru ini.

Mereka melakukan aktiviti membersihkan balai raya, tadika, masjid, mengecat rumah warga emas, kenduri kampung, program keagamaan dan acara sukaneka dengan kanak-kanak kampung tersebut.

Kumpulan penuntut PAKK itu diketuai oleh Pakar Pendidikan Awal Kanak-kanak terkenal, iaitu Prof. Madya Dr. Mariani Md. Nor (gambar).

Menurut Mariani, langkah itu merupakan usaha mendekatkan para penuntut yang bakal bergelar profesional dengan penduduk luar bandar Lipis.

"Menerusi program ini, kita mengasah kepimpinan penuntut berkenaan khususnya bagaimana menangani masalah sosial dan pendidikan dalam kalangan penduduk luar bandar.

"Bidang pendidikan awal kanak-kanak yang dipelajari oleh penuntut bimbingan saya boleh dilaksanakan untuk menyedarkan ibu bapa dan belia di sini mengenai pentingnya perancangan pendidikan bermula pada awal kanak-kanak," katanya kepada pemberita di Kuala Kechau, dekat sini baru-baru ini.

Dalam pada itu, pengarah program tersebut, Mohd. Huzaimi Raup berkata, mereka gembira apabila penduduk kampung menerima kehadiran mahasiswa terbabit sekali gus membuka peluang kepada mereka untuk menghayati kehidupan sebenar penduduk desa.

"Program itu merupakan sebahagian daripada tugasan yang perlu dilaksanakan oleh pelajar Tahun Dua dan Tahun Tiga PPAK sebelum menamatkan pengajian kelak.

"Langkah itu bertujuan mewujudkan kerjasama dengan penduduk luar bandar yang merupakan satu elemen perlu dititikberatkan bagi mengasah kepimpinan dan jati diri," ujarnya.

- Utusan

No comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...