Monday, March 12, 2012

Kursus Kepemimpinan 126 Ketua / P. Ketua Pelajar 63 Buah Sekolah SBP 2012


Peserta Kursus Kepemimpinan Ketua dan Penolong Ketua Pelajar SBP Peringkat Kebangsaan 2012 tekun mengikuti semua program yang diadakan di Hotel Puteri Garden, Klang, Selangor, baru-baru ini.

SERAMAI 126 ketua dan penolong ketua pelajar dari 63 buah sekolah berasrama penuh (SBP) seluruh negara dilatih untuk menjadi pemimpin bertaraf dunia dalam Kursus Kepemimpinan SBP Peringkat Kebangsaan 2012 di Hotel Puteri Garden, Klang, Selangor, baru-baru ini.

Ketua Penolong Pengarah Bahagian Pengurusan SBP dan Sekolah Kecemerlangan Kementerian Pelajaran, Shamsuddin Mustapha berkata, kursus kepemimpinan itu diadakan bagi melatih para pemimpin pelajar SBP dari segi kepimpinan merangkumi pemahaman secara teori dan juga kerja lapangan (field work).

"Penganjuran kursus ini juga begitu sesuai dan selaras dengan hasrat kementerian untuk melahirkan pemimpin bertaraf dunia dan amat perlu diadakan sejak peringkat sekolah lagi," katanya.

Tema kursus selama empat hari itu ialah Transformasi Kepemimpinan Ketua Pelajar SBP.

Menurut Shamsuddin, respons para peserta yang terlibat dalam program ini amat menggalakkan dengan kebolehan mereka menguasai pelbagai input yang diberi serta melaksanakan segala tugas yang diamanahkan dengan cemerlang.

"Diharapkan melalui pengisian kursus ini akan dapat membina jati diri dan sifat kepemimpinan yang mantap selaras dengan visi dan misi SBP serta Falsafah Pendidikan Kebangsaan," ujarnya.

Selain itu katanya, para peserta kursus turut berpeluang menemui pemimpin serta tokoh penting dalam pelbagai bidang yang dahulunya merupakan pelajar SBP semasa program Leadership Outreach bagi berkongsi pengalaman di samping memberi motivasi kepada mereka.

"Program ini bertujuan memberi pengalaman sebenar mengenai aspek kepemimpinan yang boleh diaplikasikan dalam pengurusan organisasi di sekolah selain melahirkan pemimpin yang mempunyai kemahiran insaniah selaras Pelan Induk Pembangunan Pendidikan.

"Adalah diharapkan melalui program ini, para pemimpin pelajar akan membimbing rakan mereka ke arah kecemerlangan seterusnya menggandakan usaha untuk berjaya dalam pendidikan dan menjadi pelapis pemimpin masa hadapan," tegasnya.

- Utusan

No comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...