Wednesday, March 21, 2012

Lepasan SPM, STPM serbu Program Jom Masuk U

  Pengajar.Info       Wednesday, March 21, 2012

KOTA TINGGI 20 Mac - Kira-kira 300 orang mengunjungi Program Jom Masuk U anjuran bersama Biro Pelajaran UMNO Bahagian Tenggara dan Biro Pelajaran Pemuda UMNO Bahagian Tenggara di Dewan Bandaran Kejora, Bandar Tenggara dan Balai Raya Taman Kota Jaya di sini baru-baru ini.

Antara institusi pengajian tinggi (IPT) yang mengambil bahagian dalam pameran dua hari itu adalah Universiti Teknologi Mara (UiTM), Universiti Kuala Lumpur (UniKL), Kuala Lumpur Infrastructure University College (KLIUC), politeknik, Institut Kemahiran Belia Negara (IKBN), Kolej Komuniti dan Kolej KFC.

Turut serta dalam program yang turut mendapat kerjasama Pusat Khidmat Wakil Rakyat Dewan Undangan Negeri (DUN) Panti dan Pasir Raja itu adalah Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN).

Pengerusi Biro Pelajaran Pemuda UMNO Bahagian Tenggara, Hahasrin Hashim berkata, program kali keempat itu bertujuan menjadi pusat sehenti yang memberi maklumat kepada lepasan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) dan Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM).

"Selain pameran dan pendedahan maklumat, program itu juga memberi khidmat nasihat dan bimbingan berkaitan permohonan atas talian," katanya.

Seorang lepasan SPM dari Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Tun Habab di sini, Mohd. Faiz Mohd. Nasir, 18, berkata, program itu memberi maklumat lanjut mengenai permohonan kemasukan ke IPT serta taklimat mengenai kursus yang ditawarkan.

"Walaupun keputusan SPM 2011 belum diumumkan, namun saya tidak mahu melepaskan peluang untuk menghadiri program ini," kata anak bongsu daripada lima beradik ini.

Siti Zakiah Mohd. Alias, 18, dari SMK Taman Kota Jaya pula mengakui program itu dapat membantunya mengenal pasti kursus yang ingin diikuti ke peringkat lebih tinggi.

"Dengan cara itu, saya sedikit sebanyak dapat gambaran mengenai bidang yang ingin diceburi kelak," kata anak keempat daripada lima beradik yang bercita-cita menjadi seorang guru.

Turut hadir pada program yang bermula pukul 10 pagi hingga 3 petang itu ialah Ketua UMNO Bahagian Tenggara, Datuk Baderi Dasuki yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Panti dan ADUN Pasir Raja, Datuk Dr. Adham Baba serta Pengerusi Pelajaran UMNO Bahagian Tenggara, Nasarudin Ahmad.

- Utusan
logoblog

Thanks for reading Lepasan SPM, STPM serbu Program Jom Masuk U

Previous
« Prev Post

No comments: