Wednesday, March 07, 2012

Murid Tahun 1 Trauma Dibuli Rakan Sekolah

SEREMBAN 5 Mac - Seorang murid tahun satu di sebuah sekolah kebangsaan di sini trauma selepas disyaki dibuli rakan-rakannya sehingga cedera dan lebam-lebam di seluruh anggota badannya pada Jumaat lalu.


Mangsa, Faqrul Hakimi Mohd. Kamarulzaman, 7, mengalami kesan lebam pada muka, badan, paha dan betis yang disyaki akibat dipukul dengan objek keras.

Menurut ibunya, Suzianawati Mohamad, 33, dia menyedari kejadian menimpa anak sulungnya itu ketika menjemputnya dari sebuah rumah anak yatim di Taman England dekat sini pukul 7.30 malam pada hari sama.

Dia yang bekerja sebagai operator di sebuah kilang terkejut apabila melihat kecederaan yang dialami Faqrul Hakimi.

"Semasa disoal, dia mengaku telah dipukul di sekolah tetapi tidak dapat menceritakan secara jelas peristiwa itu, mungkin kerana trauma.

"Saya membawa Faqrul Hakimi ke sebuah klinik sebelum dinasihatkan membawa mangsa ke Hospital Tuanku Ja'afar (HTJ) di sini," katanya ketika ditemui di luar sekolah tersebut di sini hari ini.

Menurutnya, doktor yang memeriksa Faqrul Hakimi kemudian menasihatkannya membuat laporan polis kerana terdapat tanda-tanda anaknya itu telah dibuli.

Katanya, dia seterusnya membuat laporan polis pada hari sama selain turut melaporkan kejadian itu kepada pihak sekolah pada hari ini.

"Pihak sekolah memberi jaminan akan menyiasat perkara itu termasuk dakwaan ia (dibuli) dilakukan tiga murid senior yang dikatakan meminta wang daripada anak saya," katanya yang berharap murid terlibat dikenakan tindakan sewajarnya.

Timbalan Pengarah Pelajaran negeri, Kalsom Khalid ketika ditemui Utusan Malaysia terkejut sebaik sahaja diberitahu mengenai kejadian itu sebelum bergegas ke sekolah berkenaan bagi mendapatkan maklumat lanjut.

Beliau turut berjanji tindakan tegas akan diambil kepada mereka yang bertanggungjawab dalam kejadian itu.

- Utusan

No comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...