Friday, March 09, 2012

Nur Farah Nissa Muncul Pelajar Cemerlang STPM 2011 Sabah


KOTA BELUD 8 Mac - Hanya berbekalkan keyakinan, disiplin yang kuat dan berdoa, Nur Farah Nissa Mohd. Effendy berjaya memperoleh 4A dan muncul pelajar cemerlang Sabah dalam peperiksaan Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM) 2011.

Tanpa memasuki mana-mana kelas tuisyen, Nur Farah Nissa yang belajar di Sekolah Menengah (SM) La Salle, Kota Kinabalu membuat ulang kaji dengan cara yang tersendiri.

"Saya bangun seawal 3 pagi untuk mengulangkaji pelajaran.

"Di sekolah pula, saya memberi tumpuan penuh kepada setiap subjek yang diajar oleh guru kerana ia merupakan satu proses pembelajaran yang sangat penting," katanya kepada Utusan Malaysia di sini, hari ini.

Menurut Nur Farah Nissa, ketekunan dan perbincangan dengan guru-guru menjadi salah satu rencah kejayaan yang dikecapinya.

"Saya juga sangat rapat dengan ibu bapa, merekalah yang mendorong saya belajar bersungguh-sungguh," katanya.

Ditanya tentang segelintir pelajar yang menyalahkan ibu bapa kerana gagal menghantar mereka ke kelas tuisyen sehingga mendapat keputusan yang lemah dalam peperiksaan, Nur Farah Nissa menafikan perkara itu.

Baginya, usaha keras dan ketekunan merupakan asas utama untuk mencapai kecemerlangan, bukannya bergantung kepada kelas tuisyen.

"Kelas tuisyen bukanlah perkara utama untuk mencapai kejayaan dalam peperiksaan, tetapi keyakinan dan usaha yang bersungguh-sungguh serta berdoa kepada-Nya lebih penting," tegasnya.

- Utusan

No comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...