Wednesday, March 21, 2012

Nurul Fardiana, Pelajar SMK Seksyen 9 Diselamatkan Polis Thailand Masih Trauma

  NR       Wednesday, March 21, 2012


SHAH ALAM 20 Mac - Remaja perempuan yang diselamatkan Polis Thailand selepas berjaya melarikan diri daripada sekumpulan anggota sindiket pelacuran di Stesen Kereta Api Hua Lampong, Bangkok minggu lalu, masih trauma dan belum bersedia memberi sebarang kenyataan kepada pihak polis.

Ketua Polis Daerah, Asisten Komisioner Zahedi Ayob berkata, remaja berkenaan, Nazatul Fardiana Mohd. Izwan, 14, kini menerima rawatan di wad pediatrik Pusat Perubatan Universiti Malaya (PPUM), Kuala Lumpur.

Sehubungan itu, kata beliau, pihaknya kini berusaha memperoleh kenyataan daripada lima remaja warga Myanmar iaitu tiga lelaki dan dua perempuan berusia antara 14 dan 17 tahun sekiranya mereka dihantar pulang ke Malaysia dalam masa terdekat ini bagi mendapatkan maklumat.

"Mangsa (Nazatul Fardiana) yang merupakan pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan Seksyen 9 di sini masih trauma dan setakat ini jika ditanya dia hanya menjawab tidak ingat.

"Jadi, kita berusaha dapatkan kenyataan lima remaja Myanmar yang bersamanya di Thailand sekiranya mereka dihantar semula ke Malaysia kerana ibu bapa mereka menetap di Selangor dan memegang kad Suruhanjaya Tinggi Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu Bagi Orang Pelarian (UNHCR).

"Selepas kita mendapat kenyataan mangsa dan lima remaja Myanmar itu, barulah kita dapat gambaran jelas tentang bila dan bagaimana mereka diculik serta dibawa masuk ke Thailand dan berapa lama mereka di sana," katanya di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Shah Alam di sini petang ini.

Ditanya kronologi kejadian yang diperoleh oleh pihak polis setakat ini, Zahedi memberitahu, pada mulanya kes mangsa disiasat sebagai orang hilang selepas ibunya, Norazura Roski, 37, membuat laporan pada 31 Januari lalu.

Ujar beliau, berdasarkan laporan, mangsa dikatakan tidak pulang ke rumah selepas dihantar ibunya di perhentian bas berdekatan rumah semasa mangsa ingin pergi ke rumah rakannya.

"Bagaimanapun, pada 12 Mac, pukul 4.57 petang, ibunya menerima panggilan daripada mangsa yang menyatakan berada di pejabat Imigresen Thailand.

"Sebelum itu, dia dikatakan telah diculik sekumpulan lelaki menaiki van putih di sebuah restoran mamak di Seksyen 9 di sini.

"Ibu mangsa kemudian membuat laporan pada pukul 8.40 malam di IPD Shah Alam pada hari sama dan selepas itu pihak Malaysia berurusan dengan kerajaan Thailand untuk membawa pulang mangsa dan berjaya mendapat perlepasan melalui jalan darat pada 17 Mac lalu," ujarnya.

Namun, kata beliau, ekoran campur tangan beberapa pihak, mangsa hanya dibenarkan pulang menggunakan penerbangan semalam dan tiba di Terminal Penerbangan Tambang Murah (LCCT), Sepang pada pukul 9 malam.

Semalam, polis Selangor mengeluarkan kenyataan mengenai mangsa yang diselamatkan oleh Polis Thailand ketika melarikan diri daripada sekumpulan anggota sindiket pelacuran di Stesen Kereta Api Hua Lampong, Bangkok, minggu lalu.

- Utusan
logoblog

Thanks for reading Nurul Fardiana, Pelajar SMK Seksyen 9 Diselamatkan Polis Thailand Masih Trauma

Previous
« Prev Post

No comments: