Thursday, March 08, 2012

Pejabat Pelajaran Daerah (PPD) Akan Diperkasa

MUHYIDDIN Yassin bermesra dengan warga Pejabat Pelajaran Daerah Kulaijaya pada Majlis Jalinan Mesra Rakyat dan perasmian bangunan baru pejabat pelajaran daerah itu di Kulaijaya, Johor semalam.

KULAIJAYA 6 Mac – Kementerian Pelajaran akan memperkasakan Pejabat Pelajaran Daerah (PPD) di seluruh negara termasuk menambah bilangan pegawai berpengalaman dan berkemahiran bagi memberikan perkhidmatan yang lebih baik.

Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, kajian awal mengenai perkara itu mendapati langkah tersebut merupakan sebahagian daripada usaha penting bagi membolehkan mutu perkhidmatan dipertingkatkan.

Beliau berkata, PPD merupakan organisasi paling hampir dengan pihak sekolah dan pelajar serta amat penting dalam membantu meningkatkan mutu pelajaran serta pembelajaran.

“Kita akan memperkasakan PPD dari pelbagai sudut termasuk mengkaji struktur organisasi, bilangan pegawai terlatih serta skop kerja agar ia dapat menjadi pemantau kepada sekolah dan paling penting membantu meningkatkan mutu pendidikan dan pembelajaran dalam bilik darjah.

“Tidak perlu ramai pegawai di peringkat atasan seperti di kementerian dan negeri kerana apa yang penting setiap dasar yang dibuat akan memberi impak kepada sekolah dan PPD merupakan yang paling hampir dengan sekolah,” katanya pada sidang akhbar selepas menghadiri Majlis Jalinan Mesra Rakyat dan merasmikan bangunan baru Pejabat Pelajaran Daerah (PPD) Kulaijaya di sini hari ini.

Turut hadir, Menteri Besar, Datuk Abdul Ghani Othman; Speaker Dewan Undangan Negeri (DUN), Datuk Mohd. Ali Hassan dan Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Usahawan dan Koperasi, Pelajaran dan Pengajian Tinggi negeri, Datuk Maulizan Bujang serta Ketua Pengarah Pelajaran, Datuk Seri Abdul Ghafar Mahmud.

Pada majlis berkenaan, Timbalan Perdana Menteri turut menyampaikan bantuan bernilai lebih RM6.3 juta kepada Kumpulan Wang Amanah Pelajar Miskin untuk diagihkan kepada lebih 23,000 pelajar yang layak di negeri itu.

- Utusan

No comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...