Monday, March 19, 2012

Pelajar Jurusan Undang-Undang Syariah Tidak Semestinya Jadi Peguam Syarie

KUALA LUMPUR -- Pelajar jurusan undang-undang boleh mendalami bidang syariah namun ia bukan 'tiket' buat mereka terutamanya bukan Islam untuk menjadi peguam syarie, kata Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Jamil Khir Baharom.
Beliau berkata undang-undang syariah yang dipelajari mereka adalah sebagai pendedahan dalam konteks ilmu pengetahuan.

"Orang yang belajar undang-undang syariah tidak semestinya menjadi peguam syarie. Dalam erti kata mudah, ia hanya untuk pendedahan pendidikan dan pelajaran dan bukannya untuk menjadi peguam syarie bagi yang bukan Islam," katanya semasa menjawab soalan tambahan Datuk Abdul Manan Ismail (BN-Paya Besar) pada sesi soal jawab di Dewan Rakyat di sini, hari ini.

Abdul Manan ingin tahu kewajipan pelajar undang-undang mempelajari undang-undang syariah dan sama ada kerajaan membenarkan peguam bukan Islam mengendalikan kes di Mahkamah Syariah.

Jamil Khir berkata buat masa ini, kerajaan juga belum memutuskan untuk membenarkan peguam bukan Islam mengendalikan kes di Mahkamah Syariah. 

Menurutnya ia untuk mengelakkan ketidakadilan di Mahkamah Syariah terutamanya apabila berlaku penghinaan mahkamah atau sesuatu perkara yang merendahkan mahkamah.

"Kalaulah hakim atau peguam bukan Islam melakukan sesuatu perkara yang boleh menjejaskan atau merendahkan martabat mahkamah, tindakan tidak boleh diambil ke atas mereka dan ini akan menyebabkan berlakunya pertentangan," katanya.

Terdahulu, semasa menjawab soalan asal Nasharudin Mat Isa (PAS-Bachok) yang ingin tahu bila Akta Guaman Syarie akan dilaksanakan, Jamil Khir menjelaskan kerajaan sedang mendapatkan input daripada pihak Persatuan Guaman Syarie Malaysia (PSGM) bagi menyediakan draf undang-undang itu.

Setakat 8 Feb lepas, katanya PGSM telah mengedarkan kertas konsep dan draf awal rang undang-undang tersebut ke negeri-negeri untuk mendapatkan maklum balas.

Beliau berkata penggubalan AKta Profesion Guaman Syarie merupakan satu daripada usaha kerajaan untuk memartabatkan kedudukan profesion kepeguaman syarie dan kehakiman di Malaysia.

Jamil Khir berkata pada masa ini, semua negeri kecuali Negeri Sembilan dan Sabah, mempunyai kaedah atau peraturan mengenai peguam syarie termasuk Kaedah-Kaedah Peguam Syarie 1982 di Johor, Kaedah-Kaedah Peguam Syar'i 1987 di Terengganu dan Kaedah-kaedah Peguam Syarie 2000 di Kelantan. -- Bernama

No comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...