Thursday, March 08, 2012

Pelajar mendapat maklumat terbaik


TELOK KEMANG 6 Mac - Pelajar dan pengunjung Karnival Pengajian Tinggi Negara Jom Masuk U di Dataran Seri Kemang, Port Dickson di sini baru-baru ini gembira kerana mendapat penerangan mengenai kursus yang ditawarkan dengan baik.

Pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Ghafar Baba, Melaka, Nurul Huda Najihah, 16, berkata, biarpun masih bersekolah, impian memasuki universiti perlu ditanam dari sekarang.

''Karnival ini telah menunjukkan universiti dan kursus yang boleh saya pilih selepas peperiksaan kelak.

"Sekurang-kurangnya, saya tahu hala tuju untuk masa hadapan," katanya kepada Utusan Malaysia di sini baru-baru ini.

Katanya, pemilihan dalam kursus yang ditawarkan ini penting bagi mengelakkan tersalah dalam membuat perhitungan, di mana akhirnya nanti akan menyaksikan kekalutan.

Muhammad Zulfahmi Faizul, 17, pula berkata, dia memperoleh pelbagai maklumat untuk memasuki universiti.

''Saya mengetahui cara mana untuk mendapatkan biasiswa, tajaan dan pinjaman.

"Karnival ini benar-benar membantu golongan pelajar mencari lokasi pembelajaran paling sesuai untuk masa hadapan," katanya.

Tambahnya, dia turut mendapat penjelasan daripada petugas di gerai universiti dan kolej tentang kelayakan kemasukan, peluang selepas tamat belajar dan sebagainya.

Bagi Kok Hui Huang, 19, karnival itu merupakan medium terbaik untuk bertanyakan pelbagai soalan, sama ada kursus yang ditawarkan, bahkan tempat penginapan, kampusnya dan yuran pembelajaran.

''Saya diberi layanan yang baik dan jawapan yang diperoleh juga memuaskan. Kini saya boleh membuat pilihan universiti yang sesuai," katanya.

Sementara itu, Norliyana Mohd. Nor, 19, berkata, selain minat seseseorang itu perlu memenuhi syarat yang ditetapkan sebelum boleh memasuki universiti.

''Di karnival ini, saya mendapat maklumat tentang kelayakan masuk. Jadi dapatlah kami r membuat sasaran tertentu untuk memastikan impian belajar di universiti pilihan itu tercapai," katanya.

- Utusan

No comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...