Thursday, March 15, 2012

Pelajar UPSI Sahut Cabaran Harungi Sg. Tembeling

Penuntut Fakulti Pendidikan Sains Sukan dan Kejurulatihan, UPSI mendayung 'dangle' berdekatan restoran terapung di Taman Negara Kuala Tahan, Jerantut, baru-baru ini.

JERANTUT 13 Mac - Seramai 20 penuntut Fakulti Pendidikan Sains Sukan dan Kejurulatihan Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI), Tanjong Malim, Perak mengadakan lawatan ke Taman Negara Kuala Tahan baru-baru ini.

Lawatan itu bertujuan mengadakan latihan kekuatan fizikal dan mental khususnya menajamkan latihan mendayung menggunakan tiub yang perlu diikuti untuk menjadi jurulatih sains sukan.

Pergerakan itu bermula di jeram Kuala Terenggan dengan menyusuri arus Sungai Tembeling sejauh lapan kilometer.

Laluan yang merentasi Jeram Terenggan, Lubuk Katak, Jeram Panjang dan Jeram Dedari cukup mencabar lebih-lebih lagi ketika arus sungai deras pada musim tengkujuh.

Mujur sepanjang laluan yang mengambil masa sejam itu tiada sebarang kejadian buruk berlaku, malah peserta teruja ketika melalui jeram Sungai Tembeling.

Seorang peserta, Jaya Suria Saffar, 40, berkata, latihan itu sedikit berbeza dengan mendayung sampan dan perahu kerana memerlukan kemahiran yang tinggi.

"Tiub lebih ringan dan sukar dikendalikan ketika merentasi jeram berbatu dan arus deras berbanding perahu atau sampan.

"Pengendaliannya juga memerlukan kolaborasi antara rakan-rakan daripada segi kekuatan mendayung dan kebijaksanaan mengemudi," katanya kepada pemberita di Kuala Tahan baru-baru ini.

Katanya, aktiviti itu amat menyeronokkan kerana dapat memerah tenaga apabila dilambung arus dan terlanggar di laluan berbatu.

- Utusan

No comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...