Monday, March 05, 2012

Pelatih PLKN di Kem D'Bana Julung Kalinya Anjur Program Tilawah Al-Quran


JEMPOL 4 Mac - Buat julung kalinya Program Latihan Khidmat Negara (PLKN) di Kem D'Bana dekat sini menganjurkan program tilawah al-Quran bagi mendekatkan diri pelatihnya dengan amalan penghayatan dan pemahaman al-Quran serta isi kandungannya.

Komandan kem, Zainal Isahak berkata, program seumpama itu pertama kali dianjurkan oleh pengurusan kem sejak ia ditubuhkan lapan tahun lalu.

''Biarpun kita memberi latihan fizikal kepada pelatih, namun aspek kerohanian wajar diterapkan dan menjadi keutamaan," katanya pada program tilawah al-Quran peringkat kem ini di sini semalam.

Katanya, biarpun ia bukan modul dalam PLKN, pihaknya merasakan perlu ada usaha mendekatkan pelatih beragama Islam terhadap al-Quran supaya dapat membentuk jati diri mereka berlandaskan al-Quran dan sunnah.

Tegas Zainal, pihak kem mendapati wujud kalangan pelatih yang langsung tidak mengenali huruf al-Quran dan faktor itu amat membimbangkan.

''Sebab itulah, kami membentuk pelatih mendekatkan mereka dengan al-Quran, selain membimbing bacaan serta penghayatannya.

''Alhamdullillah melalui kelas rohani yang kita buat, dengan konsep 'cepat baca al-Quran', akhirnya daripada tidak tahu langsung membaca, sekurang-kurangnya mereka kini dapat mengenal huruf, boleh menghafal surah pendek di kem ini," katanya.

Zainal berkata, selama ini pelatih hanya dilihat hebat di padang kawad, latihan lasak dan sebagainya, tetapi kini pelatih PLKN juga mampu membaca al-Quran dengan baik.

- Utusan

No comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...