Tuesday, March 13, 2012

Pensyarah Kolej Swasta & Bapa Ditemui Mati Penuh Misteri


Anggota polis mengusung mayat dua beranak ayah dan anak yang dipercayai telah dibunuh di Taman Kinrara 1, Puchong. 

SERDANG: Punca kematian seorang pensyarah kolej swasta dan bapanya yang ditemui dalam bilik berasingan di rumah mereka di Taman Kinrara 1, Puchong menimbulkan tanda tanya selepas polis tidak menemui bukti jenayah atau kecederaan melainkan kesan lelehan darah pada mulut kedua-dua mangsa.

Lebih menghairankan, siasatan awal mendapati tiada kesan pecah masuk pada pintu rumah selain keadaan rumah yang tidak digeledah dan barang berharga milik mangsa juga tidak dicuri.

Difahamkan, mayat Zara Eleena Omar Peter, 23, dan bapanya, Omar Peter Abdullah, 56, ditemui polis pada jam 9.50 malam kelmarin, dipercayai dibunuh sejak empat hari lalu.

Ketua Polis Daerah Serdang, Superintendan Abd Razak Elias berkata, polis menerima laporan daripada ibu mangsa, Normalia Mahmood, 50-an di Segamat, Johor mengenai kehilangan kedua beranak berkenaan sebelum ibunya itu dan anggota polis ke rumah terbabit untuk menjalankan siasatan.

“Zara menghubungi keluarga di kampung dan mengadu sakit sebelum bapanya ke rumah itu untuk membawanya pulang, Khamis lalu. Keluarga itu kerap pulang ke Segamat kerana memiliki kebun buah,” katanya.

Menurutnya, selepas itu, dua beranak terbabit terus gagal dihubungi sehingga mayat mereka ditemui.

“Ibu mangsa membuat laporan polis di Segamat pagi semalam (kelmarin) sebelum pulang ke rumahnya itu.

“Bagaimanapun, sebaik tiba di situ, ibu mangsa mendapati rumah berkenaan berkunci dan cuba menghubungi mangsa serta suaminya sekali lagi, tetapi kedua-dua talian tidak berjawab. “Berikutan itu, ibu mangsa pergi ke balai polis berhampiran untuk memaklumkan sekali lagi kehilangan ahli keluarganya sebelum polis mengiringinya ke rumahnya bagi mengesan mangsa,” katanya.

Menurutnya, polis memecah masuk sebelum menemui dua mayat itu di dalam dua bilik berasingan.

Katanya, mayat bapa mangsa ditemui tertiarap di atas katil manakala mayat mangsa terlentang di atas lantai dan masih bertudung, malah kedua-duanya berpakaian lengkap.

Anggota forensik yang memeriksa tempat kejadian tidak menemui kesan jenayah pada badan mangsa dan penggeledahan dalam rumah itu.

“Hanya telefon bimbit serta Perodua Kenari milik anak mangsa dipercayai hilang dalam kejadian itu,” katanya.

Menurutnya, kes disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan.dan siasatan lanjut sedang dijalankan.

Katanya, polis masih menunggu keputusan penuh forensik dan Jabatan Kimia bagi mengetahui punca kematian.

- hMetro

No comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...