Wednesday, March 21, 2012

Polisas Juara Kategori Rope Climbing Pertandingan Robot Antara Universiti Malaysia (MUROC)

  Pengajar.Info       Wednesday, March 21, 2012

Peserta Polisas bergambar bersama mock-up cek yang dimenangi pada Pertandingan Robot Antara Universiti Malaysia di Unimap, baru-baru ini.

KUANTAN 20 Mac - Kelab Robosas Politeknik Sultan Haji Ahmad Shah (Polisas) muncul juara kategori rope climbing pada Pertandingan Robot Antara Universiti Malaysia (MUROC) di Universiti Malaysia Perlis (Unimap), baru-baru ini.

Kelab Robosas berjaya mengalahkan 42 pasukan lain pada pertandingan yang diadakan selama tiga hari bermula 24 Februari lalu.

Kemenangan itu diraih oleh penuntut dari Jabatan Kejuruteraan Elektrik iaitu Mohd. Najme Da, 22, Muhammad Hedheer Md. Yusoff, 21, Nur Rina Zafirah Abd. Rahim, 21 dan Nur Izzati Nurhalim, 19.

Mereka berjaya membawa pulang hadiah wang tunai sebanyak RM2,000 beserta piala kejohanan.

Sementara tu, Mohd. Najme selaku ketua kumpulan berkata, mereka mengambil masa selama dua bulan bagi mencipta robot berkenaan bermula awal Januari lalu.

Katanya, model pertama robot ciptaan mereka menemui kegagalan kerana tidak dapat berfungsi dengan sempurna seperti kurang ketahanan dari segi struktur dan reka bentuk yang tidak selari dengan arus motor pada robot berkenaan.

Bagaimanapun katanya, kegagalan itu tidak melemahkan semangat mereka untuk terus melakukan pengubahsuaian dan ujian sebanyak 10 kali sehingga mereka berpuas hati.

Penasihat projek itu pula, Hasrul Che Shamsuddin berkata, kelebihan robot ciptaan penuntutnya adalah kerana faktor reka bentuk mekanikal dan mempunyai kadar kelajuan yang konsisten bagi melengkapkan permainan semasa pertandingan.

"Semangat, kesungguhan dan komitmen yang ditunjukkan oleh para penuntut ini untuk meneroka dunia robotik membanggakan kami. Sebagai tenaga pengajar kami sentiasa memberi galakan kepada pelajar untuk mengetengahkan kebolehan dan bakat yang mereka ada," katanya.

- Utusan
logoblog

Thanks for reading Polisas Juara Kategori Rope Climbing Pertandingan Robot Antara Universiti Malaysia (MUROC)

Previous
« Prev Post

No comments: