Wednesday, March 21, 2012

Politeknik Metro di Taman Suria Mula Beroperasi Akhir Tahun 2012

  NR       Wednesday, March 21, 2012

JOHOR BAHRU 20 Mac - Politeknik Metro yang terletak di Taman Suria di sini akan membuat pengambilan kira-kira 1,000 penuntut sepenuh masa dan separuh masa mulai akhir tahun ini.

Menteri Pengajian Tinggi, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin (gambar) berkata, kampus yang menelan belanja kira-kira RM20 juta itu turut dibina di dua lokasi lain iaitu di Kuala Lumpur dan Kuantan, Pahang.

Menurutnya, antara kursus yang ditawarkan di politeknik itu termasuk hospitaliti, teknologi maklumat, perbankan dan kewangan, pelancongan, fesyen serta multimedia.

"Penubuhan politeknik itu penting bagi menampung keperluan pekerja mahir dalam industri perkhidmatan di negara ini menerusi beberapa kursus yang ditawarkan dalam Program Pendidikan Jarak Jauh (PJJ) dan sepenuh masa.

"Pembinaan Politeknik Metro bukan sahaja melahirkan lebih ramai pekerja mahir dalam bidang perkhidmatan tetapi turut membantu negara mencapai status negara maju," katanya selepas melancarkan penjenamaan semula Politeknik Ibrahim Sultan di sini baru-baru ini.

Turut hadir Ketua Pengarah Pengajian Politeknik Kementerian Pengajian Tinggi, Md. Nor Yusof dan Pengarah Politeknik Ibrahim Sultan, Azizi Lin.

Mohamed Khaled berkata, keperluan terhadap pembinaan politeknik itu yang dibina di bandar-bandar besar akan diteliti dari semasa ke semasa bagi melihat sumbangannya kepada pembangunan negara dalam melahirkan tenaga mahir.

Beliau yang juga Ahli Parlimen Pasir Gudang berkata, berdasarkan laporan Bank Dunia, kadar pekerja mahir di dalam negara ini masih rendah iaitu kira-kira 28 peratus berbanding 60 peratus yang diperlukan di sebuah negara maju.

Menurutnya, tenaga mahir dalam sektor perkhidmatan akan menyumbang kepada pembangunan ekonomi negara dengan lebih besar dan sekiranya jumlah berkenaan tidak mencukupi ia akan menjejaskan elemen berkenaan.

- Utusan
logoblog

Thanks for reading Politeknik Metro di Taman Suria Mula Beroperasi Akhir Tahun 2012

Previous
« Prev Post

No comments: