Saturday, March 24, 2012

PPD Machang Kekal Ungguli SPM 3 Tahun Berturut-Turut

  NR       Saturday, March 24, 2012

MACHANG – Pejabat Pelajaran Daerah (PPD) Machang berjaya mengekalkan kejayaan mengungguli keputusan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) tiga tahun berturut-turut apabila mencatatkan Gred Purata Sekolah (GPS) 2011, 4.48.

Pegawainya, Nasir Yusoff berkata, berdasarkan Bidang Keberhasilan Utama Negara (NKRA) daerah, GPS tersebut meletakkan PPD Machang dalam kumpulan sekolah terbaik di Malaysia.

Katanya, pada masa sama, PPD Machang turut mencapai peratus lulus tertinggi bagi semua mata pelajaran iaitu 61.15 peratus.

“Keputusan SPM tahun ini menunjukkan peningkatan dan terbaik sejak tiga tahun kebelakangan ini. Ini semua adalah kerja keras semua pihak termasuk pihak sekolah, ibu bapa, Persatuan Ibu bapa dan Guru (PIBG) dan semua pihak termasuk pemimpin-pemimpin tempatan.

“Tanpa usaha keras semua pihak, kejayaan ini tidak akan dicapai dengan mudah. Terima kasih kepada Ketua Umno Bahagian Machang, Datuk Ahmad Jazlan Datuk Yaakub yang banyak menyokong pembangunan pendidikan di PPD Machang,” katanya.

Nasir berkata, seramai 1,844 calon daripada 10 buah sekolah menduduki peperiksaan SPM pada tahun 2011.

Katanya, Sekolah Menengah Sains Machang kekal di tempat pertama (GPS, 1.69), diikuti Sekolah Menengah Kebangsaan Agama Wataniah (GPS 3.07) dan tempat ketiga direbut Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Pangkal Meleret.

Menurut Nasir, SMK Pangkal Meleret menunjukkan prestasi yang memberangsangkan apabila berjaya mencatatkan lompatan sarjana dengan GPS, 4.38.

“Pada masa yang sama, seorang pelajar orang kurang upaya dari SMK Seri Intan, Muhammad Nor Shukri turut membanggakan seluruh PPD Machang apabila berjaya mendapat 4A pada SPM 2011 ini.

“Terima kasih yang tidak terhingga kepada semua pihak dan saya berharap kerja keras ini akan diteruskan pada masa akan datang bagi memperoleh kejayaan yang lebih baik,” katanya. – Sinar Harian
logoblog

Thanks for reading PPD Machang Kekal Ungguli SPM 3 Tahun Berturut-Turut

Previous
« Prev Post

No comments: