Thursday, March 08, 2012

Program Bakti Siswa UiTM bantu calon UPSR


Sebahagian murid yang menyertai senaman pagi sempena Program Khidmat Bakti Siswa D'Banquers 2012 di Sekolah Kebangsaan Demit, Kota Bharu, baru-baru ini.

KOTA BHARU 6 Mac - Persatuan Diploma Pengurusan Bank Universiti Teknologi Malaysia (UiTM) Cawangan Kelantan menganjurkan Program Khidmat Bakti Siswa D'Banquers membabitkan seramai 104 murid Sekolah Kebangsaan (SK) Demit di sini baru -baru ini.

Seramai 40 penuntut yang terlibat bagaimanapun perlu melalui proses temuduga terlebih dahulu bagi memastikan mereka benar-benar berminat serta komited menjayakan program berkenaan.

Pengerusi Persatuan D'Banquers, Wan Mohamad Khairi Wan Ibrahim berkata, mereka yang merupakan murid tahun enam diberi pendedahan awal mengenai pelbagai maklumat sebagai persiapan sebelum melangkah ke alam persekolahan peringkat menengah.

"Sebilangan besar daripada mereka masih kurang mempunyai keyakinan diri termasuk untuk mendapatkan keputusan cemerlang dalam peperiksaan Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR)," katanya di sini baru-baru ini.

Hadir sama pada majlis tersebut ialah Guru Besar SK Demit, Asmah Jusoh.

Wan Mohamad Khairi berkata, melalui program tersebut, peserta akan membantu 'adik angkat' mereka bagi mencapai kecemerlangan akademik, selain membina keyakinan diri untuk menghadapi persaingan pada masa hadapan.

Jelasnya, sepanjang dua hari program tersebut, murid telah diterapkan dengan nilai-nilai kepentingan mengurus diri dan masa melalui aktiviti termasuk solat berjemaah, latihan berkumpulan serta ceramah.

"Mereka juga diberi kata-kata perangsang dan semangat supaya mengulang kaji pelajaran, seterusnya mencapai kecemerlangan akademik dan meningkatkan kualiti hidup pada masa hadapan," katanya.

Sementara itu, Timbalan Rektor UiTM Kampus Kota Bharu, Zulkharnain Yusoff berkata, program khidmat bakti itu berkesan dalam melatih penuntut berurusan dengan masyarakat.

"Mereka bebas memilih program yang hendak diadakan dan kaedah digunakan supaya bersesuaian keperluan masyarakat. Dari situ, ia dapat membina kemampuan pelajar terbabit dalam mengurus program-program berbentuk komuniti," katanya.

Beliau berkata, pelaksanaan program tersebut diharap dapat membina keyakinan diri murid-murid terlibat sebelum mereka menduduki UPSR, seterus mencapai kecemerlangan dalam peperiksaan itu.

- Utusan

No comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...