Sunday, March 04, 2012

Program Bistari Anjuran Johor Corporation Tarik 16,000 Pelajar

JOHOR BAHRU 3 Mac - Sejak mula diperkenalkan pada 1992, Program Bistari anjuran Johor Corporation (JCorp) berjaya menarik minat 16,000 pelajar untuk menyertainya.

Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Usahawan dan Koperasi, Pelajaran dan Pengajian Tinggi negeri, Datuk Maulizan Bujang berkata, program itu berjaya mengasah bakat peserta dalam bidang keusahawanan untuk diserapkan ke pelbagai sektor berkaitan.

Menurutnya, selain memupuk budaya usahawan di peringkat 'rebung', program Didik Bistari, Tunas Bistari dan Siswa Bistari itu juga bertujuan menyemai minat serta melahirkan usahawan muda yang berwibawa.

"Kerajaan menyokong penganjuran program seumpama ini yang dilihat mampu mempertingkatkan modal insan bukan sahaja rakyat negeri ini, malah ke seluruh negara.

"Ia amat positif memandangkan kemampuan program ini yang memberi pendedahan awal berkaitan dunia keusahawanan kepada golongan muda," katanya semasa merasmikan Hari Bistari 2012 di Pusat Konvensyen Antarabangsa Persada (Persada) di sini, semalam.

Turut hadir, Presiden dan Ketua Eksekutif JCorp, Kamaruzzaman Abu Kassim dan Ketua Sektor Pengurusan Sekolah, Jabatan Pelajaran negeri, Abdul Aziz Redwan.

Maulizan berkata, program itu turut membabitkan pelbagai sektor dan akan diperluaskan ke semua institusi pengajian tinggi awam dan swasta bagi meningkatkan jumlah peserta untuk memberi pendedahan awal dan memahami selok-belok bidang perniagaan kepada mereka.

"Secara tidak langsung ilmu yang diperoleh menerusi program ini dapat dipraktik dan dimanfaatkan dalam kehidupan mereka terutama selepas tamat belajar dan menuju ke alam kerjaya," katanya.

Sementara itu, Kamaruzzaman berkata, program tersebut akan terus tercatat dalam kalendar tahunan Jcorp bagi memangkin minat golongan muda mendalami ilmu urus niaga.

"Ia akan memupuk semangat kerjasama serta kekeluargaan ketika menghadapi atau menyelesaikan setiap cabaran permainan. Secara tidak langsung, ia mendidik mereka memahami liku-liku kehidupan serta cabaran yang akan dihadapi terutama dalam bidang keusahawanan," katanya.

- Utusan

No comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...