Thursday, March 08, 2012

RM10 Juta Biaya Program Latihan 1Malaysia di 12 Kolej Komuniti di Johor


Muhyiddin Yassin bersama Mohamed Khaled Nordin (kiri) melawat gerai pameran selepas merasmikan Kolej Komuniti Segamat 2 di Segamat, Johor, baru-baru ini. - BERNAMA

SEGAMAT 6 Mac - Sebanyak RM10 juta disalurkan kepada 12 kolej komuniti di negeri ini untuk membiayai Program Latihan 1Malaysia (PK1M) pada tahun lalu.

Menteri Pengajian Tinggi, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin berkata, dana itu bagi memberi peluang kepada rakyat mengikuti kursus yang ditawarkan kolej berkenaan.

"Ini adalah salah satu usaha kerajaan untuk memberi ruang dan peluang kepada rakyat di Johor khususnya bagi mereka yang ingin mengikuti kursus jangka pendek.

"Kursus-kursus ini mendapat permintaan yang amat menggalakkan walaupun dilaksanakan di luar waktu pejabat," katanya pada majlis perasmian Kolej Komuniti Segamat 2 di Batu Anam, di sini baru-baru ini.

Majlis itu disempurnakan oleh Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin. Turut hadir, Ahli Parlimen Segamat, Datuk Seri Dr. S. Subramaniam dan Pengerusi Jawatankuasa Penasihat kolej tersebut, Datuk Othman Jais.

Pada majlis itu, Muhyiddin turut menyaksikan Kementerian Pengajian Tinggi menandatangani memorandum persefahaman (MoU) dengan Perbadanan Hal Ehwal Angkatan Tentera (Perhebat) bagi tujuan menyediakan kursus dan latihan kepada bekas tentera.

Mohamed Khaled berkata, PL1M mendapat sambutan baik daripada peserta kerana mereka hanya perlu membayar RM20 untuk kursus jangka pendek yang ditawarkan.

Mengenai Kolej Komuniti Segamat 2, beliau berkata, ia mula beroperasi 17 Jun 2003 dan sehingga kini seramai 21,090 pelatih mengikuti pelbagai kursus disediakan.

Pada awalnya, kolej itu beroperasi di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Seri Jementah sebelum berpindah ke bangunan sekarang pada Julai 2005.

Kolej tersebut dibina dengan kos RM13 juta di kawasan seluas 7.2 hektar dan kini mempunyai 600 pelatih dan 75 kakitangan akademik dan pentadbiran.

- Utusan

No comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...