Wednesday, March 21, 2012

RM200,000 Diperuntukkan Kepada SJKT Jalan Cheras Tambah Baik Prasarana Sekolah

  NR       Wednesday, March 21, 2012

KUALA LUMPUR 20 Mac - Lebih 300 pelajar Sekolah Jenis Kebangsaan Tamil (SJKT) Jalan Cheras di sini bakal menikmati kemudahan lebih baik apabila Kementerian Pelajaran mengumumkan peruntukan sebanyak RM200,000 bagi penambahbaikan prasarana sekolah tersebut.

Timbalan Menteri Pelajaran, Dr. Mohd. Puad Zarkashi berkata, peruntukan itu diberi setelah beliau memantau sendiri kedaifan sekolah tersebut hari ini.

"Peruntukan itu diberi bagi mengatasi masalah seperti bangunan sekolah usang, kebocoran paip dan kekurangan kemudahan persekolahan dengan segera," katanya kepada pemberita selepas membuat lawatan mengejut ke sekolah itu.

Turut hadir Pengarah Pelajaran Wilayah Persekutuan, Datuk Khairil Awang; Pengerusi Yayasan Pendidikan Cheras (YPC) yang juga Ketua UMNO Cheras, Datuk Syed Ali Alhabshee; Pegawai Pelajaran Daerah Pudu, Ismail Musa dan Yang Dipertua Persatuan Ibu Bapa dan Guru-guru (PIBG), Dr. Nagesh Rao .

Mohd. Puad yang juga Pengerusi Jawatankuasa Audit Fizikal Sekolah-sekolah berkata, pihaknya akan mencadangkan kepada kementerian untuk melaksanakan pembinaan bangunan baru sekolah tersebut sebagai penyelesaian jangka panjang.

"Pelajar di sini amat padat, banyak bilik darjah yang dibina secara tambahan dan ada yang terpaksa dibahagi dua," katanya.

Menurutnya, beliau juga akan menyerahkan kepada Bahagian Penyelidikan Kementerian Pelajaran untuk membuat kajian menyeluruh bagi cadangan pembinaan bangunan baru sekolah yang sudah berusia 65 tahun itu dan turut menjadi sekolah angkat YPC.

Dalam pada itu Mohd. Puad menambah, kerajaan juga akan membina enam lagi SJKT baru iaitu tiga di Selangor dan masing-masing sebuah di Perak, Johor dan Kedah.

Sementara itu, katanya, isu kekurangan guru SJKT di seluruh negara akan dibincangkan dalam mesyuarat jawatankuasa khas kementerian.

"Masalah kekurangan itu tidak begitu kritikal iaitu sebanyak 107 orang,'' katanya.

- Utusan
logoblog

Thanks for reading RM200,000 Diperuntukkan Kepada SJKT Jalan Cheras Tambah Baik Prasarana Sekolah

Previous
« Prev Post

No comments: