Monday, March 05, 2012

RM26.2 Juta Telah Dibelanjakan Naik Taraf, Bina SJKT


LEDANG 4 Mac - Sebanyak RM26.2 juta telah dibelanjakan bagi menaik taraf dan membina Sekolah Jenis Kebangsaan Tamil (SJKT) yang baru di seluruh negeri ini dalam tempoh empat tahun lalu.

Timbalan Presiden MIC, Datuk Seri Dr. S. Subramaniam berkata, antara SJKT berkenaan adalah di daerah Muar, Segamat, Pontian, Kulaijaya dan Yong Peng.

Beliau yang juga Menteri Sumber Manusia dan Ahli Parlimen Segamat berkata, keprihatinan itu menunjukkan kerajaan tidak pernah meminggirkan SJKT seperti yang dituduh pembangkang.

"Siapa kata SJKT masih ketinggalan seperti 40 tahun dahulu ? Pembangkang cakap peruntukan untuk sekolah Tamil tidak sampai, apakah mereka tidak nampak perubahan yang telah dilakukan ?

"Kerajaan membelanjakan sebanyak RM440 juta untuk SJKT di seluruh negara sejak 2009 dan daripada jumlah itu, RM26.6 juta disalurkan untuk SJKT di Johor," katanya semasa merasmikan bangunan baru Sekolah Jenis Kebangsaan Tamil (SJKT) Ladang Bekoh, Tangkak dekat sini kelmarin.

Beliau berkata, dua lagi SJKT yang baru akan dibina di Seri Alam, Masai dan Bukit Indah, Nusajaya dalam masa terdekat bagi memenuhi keperluan masyarakat India di kawasan berkenaan.

- Utusan

No comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...