Thursday, March 15, 2012

Cadangan SPR Perkenal Subjek Mengundi, Pilihan Raya Membebankan Pelajar - STU

KUCHING: Kesatuan Guru Sarawak (STU) menyifatkan cadangan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) agar subjek mengenai pilihan raya dan kepentingan mendaftar sebagai pengundi diperkenalkan di peringkat sekolah menengah atas sebagai satu bebanan kepada pelajar.

Presidennya, William Ghani Bina berkata, pembentukan kerajaan, proses pilihan raya, konsep demokrasi, sistem raja berperlembagaan dan sebagainya sudah pun diajar bermula di tingkatan dua lagi, khasnya dalam mata pelajaran Sejarah.

“Kenapa perlu untuk kita memperkenalkan subjek baharu sedangkan kita mesti meminimumkan jumlah subjek yang diajar di bangku sekolah supaya pelajar boleh menguasai setiap mata pelajaran dengan baik?

“Kita tidak mahu pelajar hanya menghafal untuk lulus peperiksaan dan inilah kelemahan sistem pelajaran kita yang lebih memberi penekanan kepada peperiksaan sehingga akhirnya impian melahirkan lebih ramai golongan pemikir, pakar dan profesional dalam sesuatu bidang tidak menjadi kenyataan,” katanya kepada Utusan Borneo semalam.

Menurutnya, Malaysia perlu mengikut langkah negara-negara maju yang lebih memberi penekanan kepada aspek pemahaman dan penguasaan sesuatu subjek pada masa sama membimbing pelajar menjadi pakar dalam satu-satu bidang.

“Sebab itu ramai rakyat kita hanya menjadi penumpang, juruterbangnya boleh dikira dengan jari begitu juga ramai rakyat kita hanya tahu berbelanja tetapi yang menjadi akauntan berapa  orang sahaja… Ini realiti yang harus kita lihat dan tangani,” ujarnya.

Beliau menegaskan, SPR sepatutnya mendapatkan pandangan serta berbincang dengan Kementerian Pelajaran atau pakar pendidikan sebelum mengemukakan cadangan tersebut yang dianggap hanya akan mengelirukan orang ramai dan membebankan pelajar khasnya.

“Tidak usahlah membebankan lagi pelajar dengan mewujudkan subjek baharu ini. Pengundi di luar sama, mereka yang sering membeli dan menjual undi itu yang harus diajar mengenai pilihan raya, bukan pelajar sekolah,” katanya lagi.

BERNAMA Selasa lepas memetik Pengerusi SPR Tan Sri Abdul Aziz Mohd Yusof sebagai berkata, cadangan itu sebagai langkah untuk mendedahkan golongan remaja kepada tanggungjawab masing-masing apabila telah mencapai umur melayakkan mereka mendaftar dan mengundi.

“Kalau mereka didedahkan dari awal, ini akan menanam minat mereka untuk mendaftar dan mengundi selain mengetahui tanggungjawab mereka apabila dewasa kelak.

“Cadangan ini akan dipanjangkan kepada Kementerian Pelajaran, seterusnya SPR akan berbincang mendapatkan jalan terbaik memperkenalkan perkara ini,” katanya.

- UB

No comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...