Tuesday, March 20, 2012

Sekolah Antarabangsa Excelsior Akan Dibina di Bandar Seri Alam, Johor

  NR       Tuesday, March 20, 2012

JOHOR BAHRU 19 Mac - Sekolah Antarabangsa Excelsior akan dibina di kawasan Seri Alam, dekat sini dan dijangka siap sepenuhnya pada September tahun depan.

Ahli Parlimen Pasir Gudang, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin berkata, sekolah yang bakal menelan kos RM60 juta itu dibangunkan di atas tapak seluas lapan hektar dengan kerjasama Seri Alam Properties dan sebuah syarikat yang berpangkalan di Singapura, Raffles Campus Pte. Ltd.

Beliau berkata, sekolah tersebut mampu menampung lebih 2,500 pelajar dan ia merupakan sekolah alternatif kepada ibu bapa di negeri ini yang menghantar anak mereka belajar di Singapura.

"Kita tahu terdapat ibu bapa yang menghantar anak mereka untuk bersekolah di Singapura. Namun dengan adanya sekolah itu di sini, ia dapat memberikan mereka pilihan.

"Jadi, mereka tidak perlu lagi bangun awal-awal pagi untuk menghantar anak mereka ke sana.

"Selain jarak yang dekat, yuran yang bakal dikenakan kepada para pelajar adalah 15 peratus lebih rendah berbanding di Singapura," katanya kepada pemberita pada majlis pecah tanah sekolah berkenaan di Jalan Purnama, Bandar Seri Alam hari ini.

Sekolah Antarabangsa Excelsior tersebut akan dilengkapi dengan pelbagai kemudahan seperti asrama, bilik darjah berhawa dingin, makmal sains dan multimedia selain kemudahan sukan termasuk kolam renang, padang tenis, padang bola sepak serta trek balapan.

Mohamed Khaled yang juga Menteri Pengajian Tinggi berkata, sekolah berkenaan akan diuruskan sepenuhnya oleh Raffles Campus dengan penyediaan sukatan pembelajaran serta aktiviti kokurikulum mengikut piawaian antarabangsa untuk murid-murid berusia tiga hingga 18 tahun.

Menurutnya, pengambilan pelajar untuk sesi pertama persekolahan itu akan bermula pada awal tahun depan.

Kata beliau, pihaknya menyambut baik usaha seperti itu kerana ia selaras dengan hasrat kerajaan untuk memajukan ekonomi menerusi sektor pendidikan, selain menjadikan kawasan Seri Alam sebagai bandar ilmu pengetahuan.

- Utusan
logoblog

Thanks for reading Sekolah Antarabangsa Excelsior Akan Dibina di Bandar Seri Alam, Johor

Previous
« Prev Post

No comments: