Thursday, March 08, 2012

Sekolah Kecewa Keputusan STPM 2011 SMK Methodist, Sibu Kurang Memberangsangkan


Antara Pelajar Terbaik: Duduk dari kiri, Irene dan Fiona & rakan-rakan


SIBU: Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Methodist mencatat keputusan kurang memberangsangkan dalam peperiksaan Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM) dengan keputusan tertinggi 2A, 2A-.


Mereka yang mendapat keputusan tersebut ialah Fiona Ling dan Irene Tiong.

Ketika ditemui pemberita semalam, Pengetua Yong Choo Tiong berkata, beliau turut memahami akan kekecewaan pelajarnya yang telah berusaha keras untuk peperiksaan kali ini.

“Pelajar saya telah melakukan yang terbaik untuk memperolehi keputusan yang baik meskipun menghadapi situasi tekanan menjelang peperiksaan.

“Begitu juga para guru turut tidak berputus asa memberikan sokongan dan bimbingan kepada pelajar,” jelasnya sambil menambah Gred Purata Sekolah meningkat tahun ini 2.54 berbanding 2.45 pada tahun lepas.

Irene Tiong yang menyasarkan keputusan 4A, bagaimanapun terpaksa akur dengan keputusan 2A, 2A- dan  beranggapan bahawa jadual masa peperiksaan menjadi masalah.

“Kami menduduki dua kertas peperiksaan pada hari yang sama dan ia agak sukar. Jika diberikan masa, saya akan lakukan yang terbaik,” ujar beliau.

Tiong yang bercita-cita menjadi doktor pergigian, berhasrat menyambungkan pengajian dalam bidang pergigian di universiti pilihan, Universiti Malaya (UM).

Sementara itu, Fiona Ling berharap beliau dapat meneruskan pengajian dalam jurusan kejuruteraan di Universiti Sains Malaysia (USM).

“USM dan kejuruteraan adalah pilihan pertama saya dan saya berharap dapat memasuki universiti pilihan,” jelasnya yang akan mendapatkan bimbingan dan maklumat daripada pihak sekolah.

- UB

No comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...