Wednesday, March 21, 2012

SIRIM-Politeknik Meterai MoU Latih Bidang Kimpalan di Sektor Minyak & Gas

  NR       Wednesday, March 21, 2012

MAULIZAN Bujang (tengah) menyaksikan pertukaran memorandum antara Zainal Abidin Mohd. Yusof (dua kiri) dan Md. Nor Yusof (dua kanan) di Nusajaya, Johor, baru-baru ini.

NUSAJAYA 20 Mac - Institut Piawaian dan Penyelidikan Perindustrian Malaysia (SIRIM) Bhd. menjalin kerjasama dengan Jabatan Pengajian Politeknik bagi melahirkan lebih ramai tenaga kerja yang berkemahiran dan berkepakaran tinggi dalam bidang kimpalan di sektor minyak dan gas.

Ketua Pengarah Pengajian Politeknik (JPP) Kementerian Pengajian Tinggi, Mejar (Kehormat) Md. Nor Yusof berkata, kerjasama itu akan menjadi landasan untuk memberi pengetahuan, kemahiran dan kepakaran industri kepada para penuntut.

Beliau berkata, kerjasama itu juga melibatkan penubuhan pusat kecemerlangan dalam bidang berkaitan yang akan ditempatkan di Politeknik Ibrahim Sultan (PIS) dan dikenali sebagai Fasiliti Ujian Satelit.

"Pusat kecemerlangan itu juga dikenali sebagai pusat latihan dan pensijilan sebagai pemeriksa kimpalan dan jurutera kimpalan.

"Ia akan menjadi hab latihan dan amalan global bagi penuntut politeknik serta industri minyak dan gas di samping membimbing mereka dari aspek teknikal," katanya selepas majlis menandatangani memorandum persefahaman (MoU) antara kedua-dua pihak tersebut di sini baru-baru ini.

MoU berkenaan dimeterai antara beliau dan Pemangku Presiden dan Ketua Eksekutif SIRIM Bhd., Dr. Zainal Abidin Mohd. Yusof dan turut disaksikan Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Usahawan dan Koperasi, Pelajaran dan Pengajian Tinggi negeri, Datuk Maulizan Bujang.

Dengan termeterainya MoU itu, dijangka lebih 1,000 tenaga kerja yang berkemahiran dan berkepakaran tinggi dalam bidang kimpalan di sektor minyak dan gas mampu dilahirkan.

Md. Nor berkata, kerjasama itu juga merupakan satu pendekatan proaktif untuk memenuhi pasaran tenaga kerja dan melatih penuntut dalam bidang pengujian serta kimpalan bagi sektor pembinaan, perkapalan serta pembuatan.

"Bagi menjayakan program ini, penuntut terpilih perlu menjalani kursus di luar waktu kuliah kira-kira lima hari dan selepas itu menduduki peperiksaan yang ditetapkan bagi melayakkan mereka mendapat sijil," katanya.

- Utusan
logoblog

Thanks for reading SIRIM-Politeknik Meterai MoU Latih Bidang Kimpalan di Sektor Minyak & Gas

Previous
« Prev Post

No comments: