Wednesday, March 07, 2012

SJKC Chern Hwa Terima Peruntukkan RM1.2j Naik Taraf Kemudahan


BATU PAHAT 5 Mac - Sebanyak RM1.2 juta diperuntukkan untuk menaik taraf kemudahan di Sekolah Jenis Kebangsaan Cina (SJKC) Chern Hwa di sini bagi mewujudkan suasana pembelajaran lebih kondusif, sekali gus meningkatkan kecemerlangan muridnya.

Menteri Besar, Datuk Abdul Ghani Othman berkata, kerajaan negeri menyumbang sebanyak RM500,000, Jabatan Perdana Menteri (RM300,000), MCA (RM200,000), Parlimen Batu Pahat (RM150,000) dan Kementerian Pelajaran (RM55,000).

"Kerajaan memang mengambil berat tentang aspek pendidikan semua rakyat tanpa mengira kaum dan diharapkan peruntukan ini dapat dimanfaatkan untuk melahirkan murid-murid yang lebih cemerlang.

"Saya dimaklumkan, peruntukan ini antaranya akan digunakan untuk menambah bilik darjah, meningkatkan kemudahan sukan serta pelbagai kemudahan lain di sekolah ini," katanya pada Majlis Jamuan Rakyat di SJKC Chern Hwa malam semalam.

Majlis itu merupakan sebahagian daripada program lawatan kerja beliau ke kawasan Parlimen Batu Pahat selama empat hari yang berakhir hari ini.

Turut hadir, Ahli Parlimen Batu Pahat, Dr. Mohd. Puad Zarkashi; Presiden MCA, Datuk Seri Dr. Chua Soi Lek, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Penggaram, Datuk Koh Chee Chai, Ja'affar Hashim (Senggarang) dan Ayub Jamil (Rengit).

Sementara itu, Mohd. Puad yang juga merupakan Timbalan Menteri Pelajaran berkata, kerajaan tidak pernah mengabaikan Sekolah Jenis Kebangsaan dan buktinya sebanyak RM1.8 bilion setahun diperuntukkan untuk membayar gaji guru-guru di sekolah itu di seluruh negara.

"Kita cuma berdepan masalah untuk membina SJKC di negeri ditadbir pembangkang kerana mereka tidak memberi kerjasama berkaitan pemilikan tanah walaupun kita telah luluskan peruntukan," katanya.

Soi Lek pula meminta penduduk supaya tidak terpedaya dengan janji manis dan tipu helah pembangkang yang tidak realistik, sebaliknya kerajaan Barisan Nasional (BN) terbukti berjaya membela nasib semua kaum.

"Saya bukan hendak bodek tetapi Datuk Abdul Ghani (Menteri Besar) adalah pemimpin untuk semua kaum. Keamanan dan kemakmuran negeri telah dikecapi sejak sekian lama kerana beliau dan BN berjaya mewujudkan toleransi dan perpaduan kaum di negeri ini," katanya.

- Utusan

No comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...