Monday, March 05, 2012

SK Dalam Ru Lancar Kempen Program Kitar Semula


WARGA guru melancarkan kempen kitar semula barangan terbuang untuk menjana pendapatan PIBG Sekolah Kebangsaan (SK) Dalam Ru di Pasir Puteh, semalam.

PASIR PUTEH 4 Mac - Guru dan murid-murid Sekolah Kebangsan Dalam Ru dekat sini hari ini melancarkan kempen 'Program Kitar Semula dan Selamatkan Bumi Kita' sebagai sebahagian usaha menanam sikap menghargai barangan terbuang dan tidak menganggapnya sebagai sampah-sarap yang tidak berharga.

Guru Besar sekolah itu, Wan Hamidah Wan Daud berkata, kempen itu akan memantapkan disiplin murid terhadap kebersihan alam sekitar dengan tidak membuang sampah di merata-rata tempat.

Beliau berkata, program itu diharapkan mencapai matlamat sekolah sifar sampah dengan amalan kitar semula dan tabiat 'ringan tulang' untuk mengumpul barangan terbuang di tempat yang dikhaskan.

"Fikir dulu sebelum membuangnya kerana semua objek lusuh masih bernilai untuk menjana pendapatan yang boleh disumbangkan kepada sekolah bagi menjayakan program kecemerlangan akademik.

"Secara tidak langsung murid akan sedar apabila ramai mengamalkan amalan kitar semula yang mampu mengatasi masalah pencemaran dengan lebih efektif termasuk memupuk sikap berjimat cermat menghargai barang yang masih boleh dijual," katanya kepada Utusan Malaysia di sini hari ini.

Wan Hamidah berkata, sepanjang kempen berkenaan pertandingan mengumpul kertas terbuang dari buku-buku latihan yang lama, surat khabar, pembungkus dan botol plastik dijalankan mengikut tahap usia murid dengan menyediakan hadiah insentif kepada pengumpul terbanyak yang akan disampaikan pada hujung bulan ini.

"Kertas dan botol plastik yang dianggap sebagai sampah di rumah mereka boleh dibawa ke sekolah untuk dikumpulkan.

"Murid juga akan didedahkan dengan pendidikan alam sekitar termasuk usaha mengurangkan penebangan pokok bagi pembikinan kertas apabila wujud kesedaran semua pihak tidak membakar kertas-kertas lama," katanya.

Tambahnya, sekolah tersebut juga akan menganjurkan larian amal Selamatkan Bumi Kita pada majlis penutup kempen tersebut 29 Mac ini di samping menyaksikan timbunan bahan terbuang yang akan dijual kepada syarikat kitar semula yang berdekatan.

- Utusan 

No comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...