Thursday, March 08, 2012

Skim i-Huffaz galak penuntut USIM hafaz al-Quran


SEREMBAN 6 Mac - Universiti Sains Islam Malaysia (USIM) mengambil inisiatif meneruskan Skim Insentif Huffaz Quran (i-Huffaz) ke arah melahirkan lebih ramai penghafaz al-Quran khususnya dalam kalangan penuntutnya.

Lebih membanggakan, i-Huffaz yang diperkenalkan sejak 2010 anjuran Institut Kefahaman Quran dan Sunnah (IQ) dengan kerjasama Fakulti Pengajian Quran dan Sunnah (FPQS) USIM itu menyaksikan peningkatan penyertaan bagi edisi tahun ini.

Skim tersebut menawarkan insentif berbentuk wang tunai mengikut tiga kategori iaitu peserta yang mampu menghafal dengan baik juzuk Amma akan diberi RM500, manakala 15 juzuk pula sebanyak RM2,000 dan 30 juzuk akan menerima RM3,000.

Baru-baru ini, seramai 14 daripada 17 penerima i-Huffaz terdiri daripada pelajar Fakulti Perubatan dan Sains Kesihatan (FPSK) dan Fakulti Pergigian (FPg) USIM layak menerima skim berkenaan.

Sepuluh daripada mereka menerima RM500, seorang penuntut menerima RM2,000, manakala enam lagi menerima RM3,000 beserta sijil penghargaan.

Pengarah IQ USIM, Prof. Madya Dr. Muhammad Mustaqim Mohd Zarif berkata, penganjuran tahun ini mendapat sambutan amat menggalakkan daripada kalangan siswa dan siswi dengan penyertaan lebih daripada 150 penuntut.

''Memandangkan penyertaan yang begitu menggalakkan, kami mengambil keputusan untuk mengadakan majlis saringan bagi mengenal pasti calon yang terbaik dan layak untuk ke majlis ujian i-Huffaz," katanya di sini hari ini.

Sementara itu, menurut seorang penerima, Mohamad Najmi Ahmad, beliau mula menghafaz al-Quran sejak di bangku sekolah lagi dan pengajian beliau di FPSK banyak membantu dirinya dalam menghafaz al-Quran.

''Ini kerana kursus perubatan di USIM mewajibkan setiap pelajarnya menghafaz beberapa juzuk al-Quran," kata penuntut tahun lima FPSK itu.

- Utusan

No comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...