Saturday, March 24, 2012

SMK Bandar Baru Uda Terima Anugerah Lonjakan Saujana

  NR       Saturday, March 24, 2012

SITI Raudah Moh (empat dari kiri) bersama guru-guru serta pelajar cemerlang SPM 2011 di SMK Bandar Baru Uda, Johor Bahru, semalam.

JOHOR BAHRU 22 Mac - Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Bandar Baru Uda yang pernah dikejutkan dengan kontroversi 33 pelajarnya mendakwa didera secara fizikal semasa menyertai kursus motivasi di Penjara Kluang, menerima Anugerah Lonjakan Saujana berikutan prestasi cemerlang dalam Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2011.

Pengetuanya, Siti Raudah Moh berkata, anugerah itu diberikan atas kejayaan mencapai gred purata keseluruhan (GPK) sekolah 4.72 peratus berbanding 5.07 peratus pada 2010, iaitu peningkatan 0.58 peratus.

Menurutnya, peratusan pelajar yang lulus dalam peperiksaan itu juga meningkat sebanyak 11.47 peratus iaitu dari 88 kepada 99.47 peratus bagi tempoh yang sama.

"Berdasarkan perangkaan itu, bermakna daripada 450 pelajar yang mengambil peperiksaan SPM 2011, hanya dua orang yang gagal.

"Keputusan itu meletakkan sekolah tersebut menduduki tangga ke-65 daripada 243 sekolah di negeri ini. Ini bermakna pencapaian yang diperoleh SMK Bandar Baru Uda sebagai sekolah harian biasa cukup membanggakan dan ia hasil usaha dan komitmen tinggi oleh guru-guru untuk mencapai sasaran yang diharapkan," katanya kepada Utusan Malaysia di sini hari ini.

Siti Raudah berkata, seramai dua pelajar memperoleh 10A+ iaitu Noor Aqilah Zainal Abidin dan Muhammad Ridzuan Mohd. Yazil Goi dalam SPM 2011 yang diumumkan semalam.

Menurutnya, tiga pelajar mendapat 9A, dua orang memperoleh 8A, 7A (8), 6A (12) dan 5A (24).

Menjawab pertanyaan, beliau memberitahu, kaedah dan formula yang digunakan sama sahaja seperti yang dilaksanakan di sekolah lain termasuk kelas tambahan, klinik mata pelajaran dan mentor-mente antara guru dan pelajar.

"Cuma yang sering saya tekankan dalam kalangan guru dan pelajar, ia hendaklah dilaksanakan secara berterusan dan bersungguh-sungguh dengan matlamat mengejar kecemerlangan. Alhamdulillah, hasilnya cukup menggembirakan seluruh warga sekolah termasuk guru, pelajar dan ibu bapa," katanya.

Sementara itu, Muhammad Ridzuan, 18, yang tinggal di Kampung Skudai Kiri memberitahu, kunci kejayaannya ialah memberi tumpuan secukupnya ketika sesi pembelajaran selain sering berdamping dengan guru bagi mendapatkan tips kecemerlangan.

"Nasihat dan dorongan daripada ibu bapa juga menjadi sumber inspirasi saya mencapai kejayaan ini. Emak yang menjadi suri rumah sepenuh masa sering menegur kalau saya asyik bermain permainan video atau melepak bersama kawan-kawan," katanya yang bercita-cita menjadi doktor.

- Utusan
logoblog

Thanks for reading SMK Bandar Baru Uda Terima Anugerah Lonjakan Saujana

Previous
« Prev Post

No comments: