Sunday, March 04, 2012

SMK Patiambun Juara MSS Bahagian Limbang 2012

LIMBANG: Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Seri Patiambun beraksi penuh cemerlang selepas merangkul 22 pingat emas, sekali gus dinobatkan sebagai juara pada Kejohanan Olahraga Majlis Sukan Sekolah-Sekolah (MSS) Bahagian Limbang 2012 di Kompleks Sukan, di sini petang kelmarin (Jumaat).

Ia merupakan kejuaraan keempat buat sekolah berkenaan yang juga tuan rumah dalam kejohanan serupa selepas pernah muncul juara keseluruhan pada 2007, 2009 dan 2010 selain turut pernah muncul naib johan pada 2008

Kejohanan yang disertai sembilan kontinjen itu turut menyaksikan SMK Medamit terpaksa akur di tempat kedua dengan memunggut 15 pingat emas sementara SMK Kubong ketiga dengan 15 pingat emas.

Timbalan Pegawai Pelajaran Daerah, Anuar Naim berkata kejohanan kali ini turut melakar sejarah tersendiri apabila 12 rekod baru tercipta bagi acara balapan dan padang.

Justeru Anuar mahu kejohanan MSS ini menjadi indikator dan penanda aras buat atlet-atlet terbaik Limbang untuk meningkatkan prestasi masing-masing menjelang Kejohanan Olahraga Majis Sukan Sekolah-Sekolah Sarawak (MSSS) yang bakal berlangsung pada 16 hingga 21 April depan di Sibu.

“Atlet-atlet bahagian Limbang kini semakin menonjol keupayaan dalam acara sukan khususnya melibatkan balapan dan padang. Justeru, mereka yang terpilih harus memberikan saingan sengit dalam usaha merangkul kejayaan pada kejohanan peringkat negeri nanti,” katanya.

Pencapaian tersebut jelasnya hasil komitmen serta disiplin tinggi semua pihak selain keupayaan atlet itu sendiri untuk mencipta kejayaan.

“Setiap atlet harus menanam tekad untuk berjaya seperti orang lain demi meletakkan Limbang di kedudukannya tersendiri untuk menguasai kejohanan balapan dan padang khususnya sepanjang beraksi pada MSSS nanti,” katanya lagi.

Beliau turut memuji Pengetua SMK Seri Patiambun, Ahmad Melan dan anak-anak buahnya yang bertungkus-lumus menjadikan temasya kali ini antara kejohanan terbaik yang pernah dianjurkan di bahagian ini.

Kejohanan kali ini disertai seramai 673 atlet melibtkan 137 pegawai dan 101 guru pengiring dan jurulatih.

Hadir sama pada kejohanan itu ialah Ketua Unit Pengurusan Pembangunan Kemanusiaan Pejabat Pelajaran Daerah, Gary Tindi Guang.

- UB

No comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...