Saturday, March 24, 2012

SMK Tengku Indera Putra 2 Muncul Sekolah Luar Bandar Terbaik Peringkat Daerah

  NR       Saturday, March 24, 2012

Sebahagian pelajar SMK Tengku Indera Putra 2 gembira selepas mendapat keputusan cemerlang dalam SPM di Gua Musang, semalam.

GUA MUSANG 22 Mac - Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Tengku Indera Putra 2 dekat sini muncul sebagai sekolah luar bandar terbaik peringkat daerah dalam keputusan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2011 yang diumumkan semalam dengan mencapai kelulusan 83.5 peratus.

Pengetuanya, Azmi Abd. Rahman berkata, dua pelajar mendapat 9A dan dua lagi 8A, 24 orang pula mendapat 5A ke atas manakala empat pelajar Orang Asli memperoleh 1A hingga 4A.

Beliau berkata, keputusan cemerlang itu lebih baik berbanding tahun sebelumnya, dengan gred purata sekolah (GPS) sebanyak 5.22.

Menurutnya, kejayaan itu hasil usaha gigih guru-guru melaksanakan pengajaran dan pembelajaran yang terancang bagi memastikan pelajar-pelajar mampu menjawab soalan peperiksaan dengan baik.

"Ia turut disokong dengan Program Elit bagi pengajaran yang berfokus kepada peperiksaan dengan membabitkan pelajar cemerlang, klinik mata pelajaran teras untuk pelajar lemah dan Program Jom Belajar Berkesan (JBB) yang menitik-beratkan kehadiran 100 peratus pelajar ke sekolah," katanya di sini hari ini.

Azmi berkata, guru-guru telah menggembleng tenaga secara bersepadu dengan menggunakan pelbagai strategi dan pelan tindakan bagi membantu setiap calon.

Menurutnya, kerjasama padu Pejabat Pelajaran Daerah (PPD), Persatuan Ibu bapa dan Guru (PIBG), Jabatan Hal Ehwal Orang Asli (JHEOA), Lembaga Kemajuan Kelantan Selatan (KESEDAR) dan pemimpin tempatan juga turut menyumbang kepada kejayaan tersebut.

Sementara itu, pelajar cemerlang itu, Tuan Muhamad Faris Tuan Mohd. Razali, 18, berkata, pengurusan sekolah yang menitikberatkan iklim pembelajaran selesa termasuk memastikan semua calon hadir kelas tambahan banyak membantunya mencapai kejayaan 9A dalam peperiksaan berkenaan.

"Pelajar luar bandar mengharapkan sepenuhnya bantuan guru dan menggunakan kemudahan pembelajaran yang disediakan di sekolah. Sekolah bagi kami adalah gedung ilmu dan guru adalah pembimbing utama yang amat diperlukan," katanya.

Tuan Muhamad Faris berkata, kejayaannya itu adalah hadiah kepada keluarga terutama bapanya yang terpaksa memerah keringat sebagai buruh kasar semata-mata mahu memastikan kejayaan anak-anak dalam pelajaran.

Bagi anak pemandu lori, Leong Suit Yee, 18, yang turut mendapat 9A berkata, disiplin yang diterapkan oleh guru-guru menjadi faktor utama kejayaan yang dicapainya.

"Sekolah turut berjaya membentuk satu integrasi pelajar membabitkan pelbagai keturunan termasuk Orang Asli, Melayu, Cina dan India yang dilayan secara saksama dengan satu matlamat iaitu kejayaan bersama untuk mengharumkan nama sekolah," katanya.

- Utusan
logoblog

Thanks for reading SMK Tengku Indera Putra 2 Muncul Sekolah Luar Bandar Terbaik Peringkat Daerah

Previous
« Prev Post

No comments: