Friday, March 23, 2012

SPM 2011: Dua Anak Yatim Pelajar SMKA Tok Bachok Dapat 11A

  NR       Friday, March 23, 2012

Muhammad Amirul Shafiq bersama ibunya selepas mengambik keputusan SPM semalam. 

BACHOK – Buat julung kalinya tahun ini keputusan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) yang diumumkan kelmarin mencatat sejarah tersendiri apabila dua pelajar dari Sekolah Menengah Kebangsaan Agama (SMKA) Tok Bachok dekat sini mencatat keputusan 11A+.

Luqman Amri dari Kampung Pa’Pura dan Mohd Syafiq Shazwan Saipul Bahari dari Kuala Krai dinobatkan pelajar terbaik dengan keputusan 11A+.

Dua pelajar ini mencatat 11A+ bagi semua subjek teras termasuk Bahasa Arab Tinggi, Matematik Tambahan, Fizik, Kimia, Biologi, Al- Quran Dan Sunnah dan Syariah Islamiah.

Seorang lagi pelajar sekolah yang sama iaitu Muhammad Amirul Shafiq Mohd Rashid juga mencatat 11A dan sering mendapat 100 markah untuk subjek Matematik Tambahan.

Uniknya dua daripada pelajar cemerlang ini adalah anak yatim, termasuk Muhamad Amirul Shafiq yang kehilangan bapa tersayang dua minggu sebelum menduduki SPM tahun lalu.

Ibunya, Azizah Mat Daud,50-an, amat bersyukur di atas kejayaan anak bongsunya itu.

“Alhamdulillah saya amat bersyukur kerana Amirul dapat keputusan cemerlang ini. Kalau bapanya masih ada tentu dia amat gembira dengan kejayaan Amirul.

“Kami kehilangan ketua keluarga dua minggu sebelum Amirul menduduki peperiksaan. Kami sentiasa berdoa agar beliau ditabahkan hati dan berjaya menghadapi ujian ini,” katanya yang berasal dari Kampung Dendang, Ketereh.

Beliau bercita- cita untuk melanjutkan pelajaran di Universiti Islam Antarabangsa bagi mengejar cita- cita sebagai seorang doktor manakala bagi Luqman Amri,18, kehilangan bapa sejak berusia 11 tahun membuatkan beliau lebih berdikari dan ingin menunaikan hasrat ibunya untuk melihat dia berjaya.

Anak kepada seorang guru di Sekolah Kebangsaan Mentuan, Kota Bharu ini sering mencatat keputusan cemerlang dalam setiap peperiksaan di sekolahnya.

Beliau dikatakan lebih berminat mengulangkaji pelajaran sendirian berbanding berkumpulan kerana bimbang sesi belajar akan bertukar kepada sesi bersembang kosong sahaja.

“Saya lebih suka belajar sendiri walaupun adakalanya saya belajar bersama Muhamad Amirul dan Mohd Syafiq.

“Kini saya masih belum mempunyai perancangan untuk memilih universiti, tetapi berhasrat untuk ke luar negara.

“Ibu menyarankan saya menyambung pelajaran dalam negara sebagai doktor, tetapi saya lebih berminat meneruskan pelajaran dalam bidang kejuruteraan,” katanya yang mempunyai seorang abang, Amir Izwan,21, yang mengikuti kursus perubatan di India.

Slip keputusan SPM dua pelajar yatim ini disampaikan sendiri oleh Pegawai Pelajaran Daerah Bachok, Saupi Majid di dewan SMKA Tok Bachok.

- Detik Perubahan
logoblog

Thanks for reading SPM 2011: Dua Anak Yatim Pelajar SMKA Tok Bachok Dapat 11A

Previous
« Prev Post

No comments: