Thursday, March 22, 2012

SPM 2011 Negeri Sembilan: 16,098 (90.5%) LMS, 755 Calon Semua A, GPN 4.82

  NR       Thursday, March 22, 2012

SEREMBAN 21 Mac - Pencapaian calon Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2011 bagi negeri ini secara keseluruhannya menunjukkan peningkatan mendadak selepas memperoleh Gred Purata Negeri (GPN) pada kadar 4.82 berbanding 4.99 peratus pada tahun lalu.

Secara keseluruhannya, seramai 16,098 iaitu 90.5 peratus daripada 17,827 calon yang menduduki peperiksaan berkenaan pada tahun lalu layak mendapat sijil.

Lebih membanggakan, negeri ini turut menyaksikan peningkatan bilangan pelajar cemerlang iaitu 755 calon memperoleh gred A+, A dan A- dalam semua mata pelajaran berbanding 620 calon pada 2010.

Pengarah Pelajaran negeri, Datuk Abdul Halim Abdul Razak menjelaskan, penurunan kadar GPN negeri itu didorong oleh peningkatan dari segi peratusan bilangan calon yang berjaya memperoleh sijil, cemerlang dengan pangkat A dan lulus dalam semua mata pelajaran.

''Ini merupakan satu perkembangan yang baik bagi negeri ini yang mana mata GPN menurun sebanyak 0.17 berbanding 2010.

''Saya ingin mengucapkan tahniah kepada semua calon yang telah berjaya memperoleh keputusan cemerlang dan setinggi-tinggi penghargaan kepada semua pihak yang telah memainkan peranan serta komitmen khususnya warga pendidik, pihak pengurusan sekolah, guru-guru dan ibu bapa," katanya pada sidang akhbar di Kolej Tunku Kurshiah (TKC), dekat sini hari ini.

Menurut Abdul Halim, seramai 40 calon sekolah kerajaan di negeri ini berjaya mendapat keputusan cemerlang dengan memperoleh gred A+ dalam semua mata pelajaran berbanding 44 calon pada 2010.

Katanya, pencapaian calon mengikut lokasi di negeri ini antara sekolah bandar, sekolah luar bandar dan sekolah Felda turut menunjukkan peningkatan prestasi berdasarkan nilai Gred Purata Sekolah (GPS) yang menurun berbanding tahun lalu.

''Bagi sekolah bandar, GPS dicatatkan bagi SPM 2011 ialah 4.46 manakala sekolah luar bandar mencatatkan 5.11 dengan jurang peratusan GPS menurun 0.23 peratus," ujarnya.

Katanya, sekolah Felda menunjukkan penurunan GPS iaitu 5.71 pada 2010 kepada 5.61 tahun ini, manakala Sekolah Agama Bantuan Kerajaan mencatatkan penurunan daripada 5.20 kepada 5.11 peratus.

Tambah beliau, semua 17,827 calon sekolah Kementerian Pelajaran telah menduduki SPM pada 14 November hingga 14 Disember tahun lalu di 141 pusat peperiksaan di seluruh negeri ini.

Sementara itu, TKC di sini pula diumumkan sebagai sebuah daripada sekolah berasrama penuh (SBP) yang mencatatkan keputusan cemerlang di peringkat kebangsaan.

- Utusan
logoblog

Thanks for reading SPM 2011 Negeri Sembilan: 16,098 (90.5%) LMS, 755 Calon Semua A, GPN 4.82

Previous
« Prev Post

No comments: