Thursday, March 22, 2012

SPM 2011: SMKA Naim Lilbanat 100% Lulus Sejak 2006, 6 Calon 11A+

  NR       Thursday, March 22, 2012

KOTA BHARU 21 Mac - Sekolah Menengah Kebangsaan Agama (SMKA) Naim Lilbanat di sini mencipta sejarah tersendiri apabila enam pelajarnya mencatat keputusan cemerlang 11A+ dalam Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2011 yang diumumkan hari ini.

Kejayaan itu menyaksikan sekolah berkenaan mengatasi pencapaian sekolah-sekolah lain di Kelantan.

Enam pelajar sekolah itu yang berjaya mencatat keputusan A+ dalam kesemua mata pelajaran diambil ialah Amirah Che Asran, Nik Nurhanini Nik Mohd. Zaki, Nabilah Muhammad Najib, Nik Nur Fatihah Nik Zulkifli, Wan Amelia Elisha Wan Azhar dan Zuraidah Jusoh.

Kejayaan yang dicatat sekolah berprestasi tinggi (SBT) itu menjadi lebih manis apabila 30 pelajar lain turut mencatat keputusan 11A melalui kombinasi A+, A dan A-.

Pengetua sekolah berkenaan, Maimunah Ismail berkata, keputusan cemerlang 100 peratus itu merupakan kejayaan yang dicapai sekolah berkenaan sejak 2006 lagi.

Jelasnya, harapan tinggi daripada Kementerian Pelajaran agar sekolah itu menjadi contoh kepada sekolah lain menyebabkan beliau sendiri dan 82 guru, sentiasa bekerja keras memastikan kejayaan tersebut dapat dicapai.

"Fokus utama kami adalah membina jati diri setiap pelajar agar mereka menjadi individu yang berjaya dalam pelajaran dan kehidupan seharian.

"Didikan agama juga sangat ditekankan dengan setiap pagi semua pelajar digalakkan membuat solat hajat dan membaca surah Yasin agar pembelajaran mereka diberkati Allah SWT," katanya kepada Utusan Malaysia di sini hari ini.

Menurut Maimunah, pelbagai program dianjurkan pihak sekolah antaranya, belajar berkumpulan, latih tubi dan menjawab soalan-soalan peperiksaan sebelum ini.

Katanya, hubungan akrab antara guru dan pelajar turut diutamakan kerana hanya melalui cara itu, masalah pembelajaran dapat diatasi.

"Kalau ada benda yang tidak difahami, setiap pelajar segera berjumpa dengan guru terlibat dan begitu juga jika pelajar mahukan kelas tambahan, sekolah akan sediakan.

"Belajar berkumpulan juga penting dengan pelajar yang pandai akan diberi peranan mengetuai beberapa orang pelajar lain dan melalui cara itu mereka akan saling membantu," tambahnya.

- Utusan
logoblog

Thanks for reading SPM 2011: SMKA Naim Lilbanat 100% Lulus Sejak 2006, 6 Calon 11A+

Previous
« Prev Post

No comments: