Thursday, March 08, 2012

STPM 2011: Anak Penjual Ayam Raih 5A


ALOR SETAR - Pelajar Lee Sze Sing, 19, anak seorang penjual ayam tidak menjadikan latar belakang keluarganya itu sebagai penghalang untuk berjaya dalam pelajarannya.

Pelajar Sekolah Menengah Jenis Kebangsaan Keat Hwa dekat sini sebaliknya menjadikan kesusahan keluarganya sebagai pendorong sehingga berjaya memperoleh 5A dengan Purata Nilai Gred Komulatif (PNGK) 4.00 dalam peperiksaan Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM) yang keputusannya diumumkan hari ini.

"Ayah hanya menjual ayam di pasar Taman Berjaya. Ibu pula tidak bekerja. Pendapatan ayah tidak tetap, jadi saya berazam untuk belajar bersungguh-sungguh supaya dapat membantu ibu dan ayah suatu hari nanti," katanya ketika ditemui pemberita di sekolahnya dekat sini.

Lee berkata hanya dengan mencapai kejayaan yang cemerlang dalam pelajaran sahaja dia akan mampu mengubah nasib keluarganya.

"Saya memperuntukkan dua jam setiap hari untuk belajar di rumah. Saya turut mengikuti kelas tambahan," katanya yang bercita-cita menjadi seorang jurutera.

 Lee mendapat A dalam Pengajian Am, Matematik, Fizik, Kimia dan Biologi.

Rakannya, Calvin Chang Tat Chee, 19, yang memperoleh 4A berkata dia memperuntukkan lima jam sehari untuk belajar.

"Kalau kita rajin belajar, kita akan mencapai apa yang kita impikan," katanya yang bercita-cita untuk menjadi doktor. - Bernama

No comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...