Friday, March 09, 2012

STPM 2011: Dua Pelajar SMK St Joseph, Kuching Raih Semua A


KUCHING: SMK St Joseph berjaya mencapai sasaran dua pelajar Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM) cemerlang dengan keputusan semua A walaupun prestasi secara keseluruhan menyaksikan sedikit penurunan.

Dua pelajar yang dimaksudkan ialah Thian Sing Kit dengan keputusan 2A 2A- dan Adeline Tan Jia Jia dengan keputusan 1A, 3A-.

Antara pelajar lain yang turut cemerlang ialah Angeline Chai Yee Kong dengan keputusan 2A-,1B+,1B, Leslie Balan Lendit (1A,1A-,1B+,1B), Ashton Lim Suee Lee (1A-, 3B+), Jasmine Lawas David (1A-,3B+) dan Cresida Hugo Jenis (1A-,1B+,1B, 1B+).

Menurut guru kanan Tingkatan Enam St Joseph Belinda Lim, angka lulus semua subjek pada tahun lepas sekadar 34 peratus berbanding 37 peratus tahun sebelumnya.

“Apa pun, kita faham, soalan peperiksaan tahun lepas lebih sukar daripada yang dijangkakan.

“Bagi tahun ini, kita ubah sedikit sistem pengajaran dan pembelajaran kita dan mungkin keputusan tahun depan akan meningkat,” katanya ketika ditemui Utusan Borneo, semalam.

Sementara itu, Adeline Tan memberitahu, kecemerlangan keputusannya itu adalah berkat usaha dan kegigihannya belajar secara berterusan.

Anak kedua daripada tiga adik-beradik itu memberitahu, dia mula melanjutkan pelajarannya dalam Sarjana Muda dalam Kejuruteraan Kimia di Swinburne University pada Januari lalu.

“Secara jujurnya, saya agak kecewa dengan keputusan STPM ini kerana saya menyasarkan untuk mencapai A dalam Matematik tetapi sebaliknya saya mendapat A-.

“Bagaiamanapun, saya tetap bersyukur dan berterima kasih kepada tenaga pengajar yang telah banyak berjasa atas kejayaan saya,” katanya.

Menurutnya, dia juga rajin berjumpa dengan gurunya untuk meminta tunjuk ajar sekiranya mempunyai masalah pembelajaran.

Dia turut menyifatkan keputusan STPM itu merupakan pembakar semangatnya untuk belajar hingga ke peringkat lebih tinggi.

“Seperti orang lain, saya mengamalkan jangan belajar pada saat akhir tetapi belajar secara berterusan sama ada bersendirian atau berkumpulan,” katanya.

Manakala ibunya, Yiu Ming Chun yang menyambut hari lahir ke-47 hari ini memberitahu keputusan anaknya itu merupakan hadiah hari jadi paling bermakna dalam hidupnya.

Yiu menyifatkan Adeline sebagai anak yang pintar dan kecemerlangan keputusannya sememangnya dijangkakan.

“Keputusannya amat membanggakan dan saya akan terus menyokongnya sampai bila-bila,” katanya.
Manakala Angeline Chai pula tidak menyangka dirinya mampu meperolehi A memandangkan peperiksaan STPM lalu lebih susah daripada yang dijangkakan.

- UB, 8 Mac

No comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...