Thursday, March 08, 2012

STPM 2011 Sabah: 88.7% Lulus Sekurangnya 1P, 22 Dapat 4A, 14 Buah Sekolah Lulus 100%


KOTA BELUD: Seramai 5,664 orang atau 88.7 peratus calon lulus sekurang-kurangnya satu matapelajaran bagi Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM) 2011 di negeri ini.

Timbalan Pengarah Pelajaran Negeri, Maimunah Suhaibul berkata, statistik berkenaan menunjukkan peningkatan berbanding pencapaian tahun lepas iaitu 88.5 peratus dengan jumlah calon yang lulus seramai 5,223 orang.

Menurutnya, seramai 113 calon mendapat keputusan lima prinsipal dan 2,199 calon mendapat keputusan empat prinsipal.

“Sebanyak 14 buah sekolah mencapai jumlah 100 peratus lulus dan antaranya termasuklah Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Benoni Papar, SMK Kunak, SMK Tenggilan Tuaran, SMK Keningau, SMK Lohan Ranau, dan SM Sung Siew Sandakan.

“Seramai 22 orang calon memperolehi keputusan 4A dan lapan orang daripadanya mendapat Purata Nilai Gred Kumulatif (PNGK) 4.00 yang didahului oleh Nur Farah Nissa Mohd Effendy iaitu pelajar SM La Salle, Kota Kinabalu,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media mengenai keputusan STPM 2011 di SMK Arshad di sini kelmarin.

Selain itu jelasnya, pelajar cemerlang kategori luar bandar peringkat kebangsaan 2011 dirangkul oleh Jumriah Zairul daripada SMK Tansau, Putatan.

Tambahnya, pelajar Sekolah Tinggi Kota Kinabalu, Chang Sin Fung dipilih sebagai Pelajar Cemerlang Aliran Sains STPM 2011.

Maimunah berkata, para pelajar boleh mendapat keputusan di sekolah masing-masing, manakala keputusan bagi calon persendirian sudah dihantar melalui pos.

“Segala pertanyaan untuk menyemak semula keputusan hendaklah dibuat dalam tempoh dua minggu selepas keputusan diumumkan.

“Saya harap semua pihak termasuk ibu bapa, guru-guru dan semua yang terlibat dalam pendidikan anak-anak dapat memberikan kerjasama dalam melonjakkan prestasi akademik di Sabah pada masa akan datang,” katanya.

- UB

No comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...