Friday, March 09, 2012

STPM 2011: Sabah Catat 14 Buah Sekolah Lulus 100%

KOTA BELUD 8 Mac - Keputusan Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM) 2011 bagi sekolah kerajaan dan sekolah bantuan penuh di Sabah mencatat peningkatan peratusan kecil.

Timbalan Pengarah Pelajaran negeri, Maimunah Suhaibul berkata, keputusan STPM pada tahun lalu adalah 88.71 peratus, berbanding kira-kira 88.5 peratus pada tahun sebelumnya.

Katanya, sebanyak 14 sekolah di negeri itu mencapai keputusan lulus 100 peratus yang didahului oleh Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Benoni di Papar; Sekolah Tinggi Kota Kinabalu dan SMK Kunak.

"Seramai 22 pelajar memperoleh keputusan 4A dan lapan daripadanya mendapat Purata Nilai Gred Keseluruhan (PNGK) 4.00 yang didahului oleh Nur Farah Nissa Mohd. Effendy yang menuntut di Sekolah Menengah La-Salle di Kota Kinabalu," katanya pada majlis pengumuman keputusan STPM 2011 di Dewan Arshad, SMK Arshad di sini, semalam.

Menurut Maimunah, pelajar cemerlang kategori luar bandar peringkat kebangsaan 2011 dirangkul oleh Jumriah Zairul dari SMK Tansau, Penampang.

Chang Sin Fung dari Sekolah Tinggi Kota Kinabalu pula dinobatkan sebagai Pelajar Cemerlang Aliran Sains STPM 2011.

Dalam perkembangan sama, Maimunah berkata, Jabatan Pelajaran negeri tetap bertekad untuk mempertingkatkan prestasi peperiksaan awam dari peringkat Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR) sehinggalah STPM.

"Saya harap semua pihak termasuk ibu bapa, guru-guru dan semua yang terlibat dalam pendidikan anak-anak dapat memberi kerjasama dalam melonjakkan prestasi akademik di Sabah pada masa akan datang," katanya.

- Utusan

No comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...