Thursday, March 08, 2012

STPM 2011: 4 Pelajar SMK Sacred Heart, Sibu Dapat 4A Penuh

Pang Sing Jie


SIBU: Empat daripada tujuh pelajar yang mendapat 4A penuh dalam peperiksaan Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM) di bahagian Sibu adalah pelajar SMK Sacred Heart.

Keempat-empat pelajar terbabit ialah Cindy Wong Ming Hie, Jacqueline Hii Ru Wei, Jessica Ling Suk Jen dan Pang Sing Jie.

Jacqueline ketika ditemui semalam menjelaskan bahawa dia sangat terkejut dan gembira dengan keputusan yang diperolehinya.

“Saya bukan pelajar cemerlang di dalam kelas…jadi keputusan ini amat mengejutkan saya,” ujarnya.

Katanya, selepas ini beliau bercadang untuk meneruskan pengajiannya dalam bidang perakaunan.

Jacqueline turut memberitahu bahawa beliau tidak mempunyai sebarang rahsia dalam pembelajarannya.

Sebaliknya, beliau hanya memberi tumpuan penuh terhadap pembelajaran di dalam kelas selain mengulang kaji pelajaran ketika di luar kelas.

Sementara itu, Jessica yang turut memperolehi keputusan cemerlang dalam STPM yang diumumkan semalam memberitahu bahawa dia tidak menjangka akan memperolehi keputusan yang membanggakan.

“Saya tidak mempunyai sebarang rahsia, sebaliknya hanya memberi perhatian penuh di dalam kelas,” ujarnya.

Anak kedua daripada tiga adik-beradik itu memberitahu, dia bercadang untuk meneruskan pengajian dalam bidang perniagaan.

SMK Sacred Heart mengekalkan rekod terbaiknya dalam peperiksaan STPM dengan mencatat 99.29 peratus.

Seramai 141  pelajar mengambil peperiksaan berbanding 130 pelajar yang direkodkan tahun lalu.

- UB

No comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...