Tuesday, March 13, 2012

Sultan Selangor Akan Rasmikan SISFEC UPM 21 Mac Ini



KUALA LUMPUR: Pusat Pendidikan Perhutanan Sultan Idris Shah (SISFEC), Universiti Putra Malaysia (UPM) di Hutan Simpan Ayer Hitam, Puchong akan dirasmikan pada 21 Mac ini oleh Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah.
Pusat itu yang merupakan makmal luar kepada pelajar UPM turut berfungsi sebagai kawasan hijau, pusat pemeliharaan sumber genetik dan pusat rujukan pendidikan dan penyelidikan bagi Fakulti Perhutanan UPM dalam menerapkan amalan terbaik pengurusan hutan tropika di peringkat nasional dan global.
Menurut kenyataan UPM di sini Isnin, SISFEC kini dalam rangka usaha menjejaki sumber genetik terbaru dan mengumpul rekod stok tumbuhan dan hidupan liar hutan itu secara berterusan, yang meliputi kajian abiotik, biotik, sosial, ekonomi serta pengurusan taman rekreasi dan eko pelancongan.
Kerajaan Negeri Selagor pada 1996 telah memberi kebenaran kepada UPM untuk mengurus dan membangunkan Hutan Simpan Ayer Hitam, seluas 1,176.1 hektar sebagai hutan pendidikan, penyelidikan dan pengembangan perhutanan untuk tempoh 80 tahun sehingga 2076.
UPM telah mengadakan tiga ekspedisi saintifik ke hutan itu, dan satu daripada ekspedisinya telah menemui beberapa spesies baru paku pakis dan lumut.
Hutan itu didapati mempunyai elemen hutan dari kawasan utara dan selatan Semenanjung Malaysia, serta mempunyai tumbuhan yang sukar ditemui.- BERNAMA

No comments:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...